KDN kenal pasti 37 titik pendaratan PATI di Sabah

KOTA KINABALU, 14 JUN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengenal pasti sebanyak 37 titik pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah membabitkan 10 daerah di negeri ini, kata Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, titik pendaratan PATI itu dikenal pasti dalam Op Benteng COVID-19 yang diaktifkan di Sabah pada 21 Mac lepas.

Kesemua titik pendaratan itu membabitkan 11 kawasan di Sandakan; Lahad Datu (lima); masing-masing empat kawasan di Tawau, Kudat dan Beluran; Kunak (tiga); dua kawasan di Kota Marudu dan Kinabatangan; serta satu kawasan di Semporna dan Pitas.

“Operasi berkenaan dilaksanakan secara bersepadu dalam ‘National Task Force’ pada April lepas bersama agensi lain diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia, yang bertujuan menyekat kemasukan PATI dengan memperkukuh kawalan sempadan negara bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

“Kawalan sempadan ini dilakukan di dua tempat iaitu di sempadan daratan – lorong tikus dan lokasi-lokasi lain yang menjadi tempat pendaratan PATI,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal di sini, hari ini. – Bernama