KDNK Brunei suku pertama meningkat 2.4 peratus

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Sejak penularan wabak COVID-19 awal tahun ini, kebanyakan ekonomi mencatat prestasi terburuk dalam sejarah terutamanya pada suku kedua disebabkan sekatan yang dikuatkuasakan oleh negara-negara di seluruh dunia.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku pertama meningkat sebanyak 2.4 peratus tahun-ke-tahun. KDNK pada suku kedua pula dipantau dengan teliti kerana sekatan yang dilaksanakan akan mempengaruhi beberapa aktiviti ekonomi di dalam negara.

Oleh itu, pada suku kedua, menurutnya, adalah menarik untuk melihat angka yang dicatat dan dalam keadaan COVID-19 ini jika kebanyakan perniagaan di negara dibuka secara berterusan, suku ketiga dan suku keempat akan mencatat prestasi lebih baik daripada suku kedua.

Demikian penjelasan Yang Berhormat Dato semasa menjawab persoalan mengenai sama ada timbulnya kerisauan mengenai KDNK negara pada tahun ini serta anggaran terkini mengenai KDNK Brunei Darussalam, semasa sesi soal jawab dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

“Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk melihat prestasi KDNK suku kedua, dan semoga kita dapat memperoleh angka yang lebih baik pada suku ketiga dan keempat,” kongsi Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, “Angka suku kedua akan segera dikeluarkan, kami masih menunggu sejumlah angka lain tetapi saya fikir anggaran terakhir KDNK adalah Alhamdulillah positif, mungkin tidak sekuat suku pertama tetapi semoga suku ketiga dan suku keempat akan meningkat untuk menebus penurunan pada suku kedua.”