KDNK China 2020 lepasi 100 trilion yuan

BEIJING, 18 JAN – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China melepasi RMB100 trilion pada 2020.

KDNK per kapita pula melebihi AS$10,000 untuk dua tahun berturut-turut, kata Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China, Ning Jizhe.

Menurut laporan rasmi dikeluarkan Biro Statistik Kebangsaan (NBS) China, jumlah KDNK mencatat RMB98.65 trilion pada 2019.

Ning Jizhe, merangkap Ketua Pengarah NBS, dalam satu wawancara berkata, pertumbuhan ekonomi China dilihat berubah daripada negatif kepada positif pada suku ketiga tahun 2020 dan mewujudkan pertumbuhan KDNK sebanyak 0.7 peratus dalam tiga suku pertama 2020.

Katanya, kejayaan pihak berkuasa mengawal penularan wabak COVID-19 merupakan antara faktor mendorong kepada pembangunan sosioekonomi.

Untuk rekod, China negara paling awal berjaya mengawal wabak, memulihkan kegiatan pengeluaran dan mewujudkan pertumbuhan positif dengan kadar pertumbuhan ekonomi diunjur mencatat kira-kira dua peratus, sekali gus menjadi satu-satunya entiti ekonomi utama mewujudkan pertumbuhan positif di dunia. – Bernama

Seorang wanita menarik troli barangan di daerah pusat perniagaan (CBD) Beijing pada 18 Januari. KDNK China melepasi RMB100 trilion. – AFP