BEIJING, 9 April – Ekonomi China mungkin tetap kukuh dalam suku pertama tahun ini, bertumbuh 6.8 peratus berbanding setahun sebelumnya, ramal Goldman Sachs.
Bank itu berkata dalam satu laporan penyelidikan bahawa bacaan indeks pengurus pembelian (PMI) daripada tinjauan rasmi dan persendirian menandakan pertumbuhan aktiviti yang kukuh pada keseluruhannya. Ia menjangka pertumbuhan KDNK China mencecah 6.6 peratus untuk tahun 2017.
Goldman Sachs menjangka pengeluaran industri China meningkat 6.4 peratus pada Mac, lebih tinggi berbanding pertumbuhan sebanyak 6.3 peratus untuk Januari dan Februari.
Pertumbuhan pelaburan aset tetap mungkin kukuh, berkembang 8.9 peratus dalam tiga bulan pertama tahun ini, tidak berubah daripada dua bulan pertama, menurut Goldman Sachs.
Ia menjangka jualan kereta yang lebih lemah akan terus membebani jualan runcit negara, yang mungkin bertambah 9.4 peratus pada Mac, lebih lembap berbanding pertumbuhan 9.5 peratus yang dicatat dalam dua bulan pertama.

Bank berkata pertumbuhan indeks harga pengguna negara (CPI), pengukur utama inflasi, mungkin berpulih kepada 1.3 peratus pada Mac daripada 0.8 peratus pada Februari apabila gangguan daripada kesan Tahun Baru Cina lenyap.
Pada suku keempat 2016, ekonomi China bertumbuh 6.8 peratus tahun-ke-tahun. Kerajaan China telah mensasarkan pertumbuhan sebanyak kira-kira 6.5 peratus pada tahun ini.
Negara itu dijadual mengeluarkan data ekonomi suku pertama termasuk pertumbuhan KDNK, pelaburan aset tetap, pengeluaran industri dan jualan runcit pada 17 April. – Xinhua