KDNK eksport M’sia bergantung kepada kemajuan vaksinasi

KUALA LUMPUR, 24 MEI – Peranan penting yang boleh dimainkan eksport dalam pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada 2021 akan bergantung kepada kemajuan program vaksinasi di negara ini, kata ahli-ahli ekonomi.

Ahli Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Sunway Profesor Dr Yeah Kim Leng berkata penggunaan dan pelaburan boleh diperkukuh dengan kelonggaran aktiviti sosial dan ekonomi, yang hanya dapat dicapai menerusi peningkatan proses vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun dan membendung kes jangkitan harian pada paras yang boleh dikawal.

“Tanpa aktiviti penggunaan dan pelaburan kembali normal, sukar bagi perdagangan bersih untuk menyumbang kepada pemulihan berbentuk V,” katanya dalam satu temu bual dengan The Edge Market baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata ekonomi kekal berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan KDNK 5.5 peratus hingga 6.5 peratus atas sokongan peningkatan prestasi eksport, tanpa mengambil kira keadaan tidak dijangka daripada pandemik COVID-19 kekal tinggi sepanjang tahun.

Sementara itu, Ahli Ekonomi OCBC Bank Wellian Wiranto berkata bank tersebut mengunjurkan momentum pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah bagi suku pertama 2021 walaupun penguncupan rendah. – Bernama

Orang ramai hadir mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Shah Alam kelmarin. – Bernama