KDNK global diunjurkan meningkat 5.7 peratus

KUALA LUMPUR, 19 OGOS – Moody’s Analytics me-ngunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar global meningkat semula kepada 5.7 peratus pada 2021 selepas mengalami penguncupan tertinggi 3.6 peratus pada tahun lepas.

Menurutnya, unjuran agak kukuh itu berpandukan faktor seperti kelulusan rangsangan fiskal terbaharu di Amerika Syarikat (AS), peningkatan semula yang ketara di Eropah serta perkembangan momentum usaha vaksinasi global.

“Bagaimanapun, pemulihan global itu terus tidak sekata di serata rantau selagi keadaan (kemunculan gelombang baharu COVID-19) sukar dikawal manakala usaha vaksinasi dipertingkat,” katanya menerusi laporan ‘Global Outlook: Resurgence Risks to Recovery’ yang dikeluarkan pada hari ini.

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan AS akan mendahului negara yang mencatat pemulihan dengan peningkatan semula pada 6.4 peratus dalam 2021 diikuti oleh Asia dengan pertumbuhan 6.1 peratus yang dipacu oleh kestabilan pengembangan China serta peningkatan India dalam fasa pasca-sekatan pergerakan. – Bernama