KUALA LUMPUR, 15 Mei – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama Malaysia dijangka mendapat rangsangan daripada sektor pembuatan, kata Standard Chartered Research.
Firma penyelidikan itu berkata Jabatan Perangkaan akan mengeluarkan data suku pertama KDNK pada 19 Mei.
“Kami mengunjurkan pertumbuhan KDNK pada 4.9 peratus tahun ke tahun, lebih tinggi berbanding 4.5 peratus pada Suku Keempat-2016,” kata firma itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Pertumbuhan pengeluaran perindustrian kukuh pada Suku Pertama dengan sektor pembuatan berkembang 5.6 peratus tahun ke tahun berbanding 5.0 peratus pada Suku Keempat, atas sokongan permintaan kukuh terhadap elektronik.
“Eksport meningkat pada awal 2017 berikutan permintaan kukuh di rantau ini, dipacu terutamanya daripada penambahan semula inventori China, serta harga komoditi tinggi,” kata Standard Chartered Research. – Bernama