KDNK Malaysia diunjur meningkat 4.5 peratus

KUALA LUMPUR, 23 JUN – Ekonomi Malaysia diunjur berkembang sebanyak 4.5 peratus pada 2021, berbanding unjuran enam peratus sebelum ini, di tengah-tengah lonjakan semula kes jangkitan COVID-19 bermula pertengahan April tahun ini, kata Bank Dunia. 

Menurut laporan ‘Malaysia Economic Monitor: Weathering the Surge’ Bank Dunia yang dilancarkan hari ini, kenaikan mendadak kes jangkitan itu telah menimbulkan kebimbangan terhadap keseluruhan kapasiti sistem kesihatan Malaysia dan kesan kitaran pembukaan dan penutupan ekonomi yang berlaku sekarang ke atas isi rumah dan perniagaan.  

Ahli Ekonomi Kanan Kumpulan Bank Dunia bagi makroekonomi, perdagangan dan pelaburan, Shakira Teh Sharifuddin berkata sekatan pergerakan yang dilaksanakan sekarang akan memberi impak kepada ekonomi Malaysia dalam tempoh terdekat ini.

“Dalam tempoh terdekat, tumpuan adalah untuk membendung penularan pandemik dan menyelamatkan nyawa serta mata pencarian

“Bagi tempoh sederhana, penting untuk mengambil iktibar daripada pandemik dan mengambil langkah-langkah padu seperti membina semula penampan fiskal dan mengukuhkan lagi sistem perlindungan sosial,” katanya pada sidang media secara maya selepas pelancaran Malaysia Economic Monitor –  Edisi Jun 2021, hari ini. Selain itu, bilangan isi rumah rentan juga dijangka meningkat, kata laporan itu. – Bernama