KDNK Singapura menguncup 2.2 peratus

SINGAPURA, 26 MAC – Ekonomi Singapura menguncup sebanyak 2.2 peratus bagi asas tahun ke tahun dalam suku pertama 2020 berbanding peningkatan pertumbuhan 1.0 peratus pada suku sebelumnya.

Malah, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik itu bagi 2020 juga terus diturunkan kepada -4.0 peratus dan 1.0 peratus.

Ini berdasarkan kepada anggaran lanjut yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang berdasarkan pengumpulan data dalam tempoh dua bulan pertama suku ini.

Data itu juga bertujuan menjadi petunjuk awal pertumbuhan KDNK dalam suku terbabit dan tertakluk kepada semakan semula apabila maklumat lebih komprehensif diperolehi.

Menurut kementerian itu, sektor pembuatan menguncup 0.5 peratus bagi tahun ke tahun dalam suku pertama, menyederhana daripada penguncupan 2.3 peratus dalam suku sebelum ini. Prestasi sektor itu dijejaskan oleh penyusutan output atau pengeluaran dalam kluster elektronik dan bahan kimia yang lebih mengimbangi pengembangan output kluster pembuatan bioperubatan dan kejuruteraan tepat atau perincian. – Bernama