KDNK Singapura menguncup 5.8% pada suku ketiga 2020

SINGAPURA, 23 NOV – Ekonomi Singapura menguncup 5.8 peratus tahun ke tahun dalam suku ketiga, penyusutan yang lebih sederhana berbanding 13.3 peratus yang dicatatkan suku sebelumnya, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, MTI berkata ekonomi negara itu mengembang 9.2 peratus berdasarkan suku ke suku yang diselaraskan secara bermusim pada suku berkenaan, peningkatan daripada penyusutan sebanyak 13.2 peratus pada suku kedua 2020.

Menurut MTI, prestasi ekonomi yang lebih baik ini didorong oleh aktiviti yang dimulakan kembali secara berperingkat pada suku ketiga 2020 berikutan pelaksanaan ‘Circuit Breaker’ bermula 7 April hingga 1 Jun, 2020, serta pemulihan aktiviti ekonomi utama dalam tempoh kajian.

Dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk prestasi ekonomi Singapura pada tiga suku pertama tahun ini iaitu -6.5 peratus, MTI menyatakan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 untuk Singapura telah dikecilkan kepada -6.5 to -6.0 peratus daripada -7.0 to -5.0 peratus.

Ekonomi republik itu turut diunjurkan untuk berkembang 4.0 hingga 6.0 peratus pada 2021, katanya.

Kementerian itu menambah pemulihan ekonomi Singapura pada tahun mendatang dijangka berlaku secara berperingkat, dan banyak bergantung kepada prestasi ekonomi global dan sama ada Singapura mampu mengawal situasi COVID-19 di dalam negara. – Bernama

Kakitangan pejabat berjalan di sekitar pusat perniagaan kewangan di Singapura pada 23 November. – AFP