KDNK suku pertama 2020 meningkat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Pada suku pertama 2020, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam pada harga semasa meningkat kepada $4.56 bilion berbanding $4.55 bilion pada suku pertama 2019.

Sektor minyak dan gas merangkumi aktiviti perlombongan minyak dan gas serta pembuatan gas asli cecair (LNG) adalah bernilai $2.4 bilion yang menyumbang sebanyak 52.3 peratus kepada jumlah nilai tambah kasar (GVA).

Sementara itu, sektor bukan minyak dan gas, yang kini termasuk aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia, menyumbang sebanyak 47.7 peratus dengan nilai $2.2 bilion.

Pada harga tetap, KDNK pada suku pertama 2020 meningkat sebanyak 2.4 peratus tahun ke tahun. Ini adalah disebabkan peningkatan dalam sektor bukan minyak dan gas sebanyak 10.9 peratus. Manakala, sektor minyak dan gas mencatatkan penurunan sebanyak 4.0 peratus.

Peningkatan dalam sektor bukan minyak dan gas terutamanya disebabkan oleh aktiviti hiliran termasuk pengeluaran baharu produk petroleum dan kimia, dengan nilai tambah kasar sebanyak $294.9 juta pada harga tetap.

Statistik KDNK Suku Pertama 2020 didedahkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Kenyataan menyatakan bahawa penurunan dalam sektor minyak dan gas adalah terutamanya disebabkan penurunan pengeluaran minyak mentah daripada 126,900 tong sehari pada suku pertama 2019 kepada 116,200 tong sehari pada suku pertama 2020.

Sementara itu, pengeluaran gas asli juga menurun daripada 35.5 juta meter padu sehari kepada 34.8 juta meter padu sehari pada tempoh masa yang sama. Selain itu, pengeluaran LNG menurun kepada 1,001,467 MMBtu sehari pada suku pertama 2020 berban-ding 1,028,387 MMBtu sehari pada suku pertama 2019.

Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa mengikut jenis kegiatan ekonomi, pertumbuhan positif tahun ke tahun pada suku pertama 2020 adalah disebabkan peningkatan dalam sektor Industri sebanyak 5.3 peratus berikutan pengeluaran baharu produk petroleum dan kimia.

Ini juga diikuti oleh sektor pertanian, perhutanan dan perikanan yang mencatatkan kenaikan sebanyak 5 peratus berikutan peningkatan dalam pengeluaran subsektor-subsektor perikanan, ternakan dan sayur-sayuran, buah-buahan dan pertanian lain.

Peningkatan dalam aktiviti perikanan adalah terutamanya disebabkan peningkatan dalam industri tangkapan secara kecil-kecilan dan aktiviti akuakultur seperti udang, ikan dalam sangkar dan ikan air tawar.

Manakala itu, peningkatan dalam aktiviti ternakan adalah selaras dengan peningkatan pengeluaran daging lembu, ayam dan telur. Pada masa yang sama, peningkatan pengeluaran padi pula telah mendorong kenaikan bagi aktiviti pertanian.

Walau bagaimanapun, sektor perkhidmatan menurun sebanyak 2.5 peratus, antara lainnya disebabkan penurunan dalam sub-sektor seperti perkhidmatan kewangan, perkhidmatan kerajaan dan pengangkutan udara.

Penurunan dalam sub-sektor perkhidmatan kewangan sebanyak 14.4 peratus adalah disebabkan penurunan pendapatan pelaburan yang berkaitan dengan aktiviti perkhidmatan perbankan dan insurans.

Dalam pada itu, penularan jangkitan wabak COVID-19 telah menyebabkan penurunan kepada beberapa aktiviti perkhidmatan seperti sub-sektor pengangkutan udara sebanyak 21.8 peratus disebabkan pengurangan operasi perjalanan.

Di samping itu, ia juga mengakibatkan penurunan bagi sub-sektor perhotelan.

Walaupun sektor perkhidmatan secara keseluruhan menurun, terdapat juga subsektor-subsektor di bawah sektor ini menunjukkan peningkatan seperti perdagangan borong dan runcit iaitu sebanyak 4.1 peratus, perkhidmatan perniagaan sebanyak 7.7 peratus, hartanah dan pemilikan kediaman sebanyak 2.8 peratus dan perkhidmatan kesihatan sebanyak 6.3 peratus.

Peningkatan subsektor perdagangan borong dan runcit selaras dengan peningkatan jualan yang dicatatkan seperti di pasar raya dan gedung membeli-belah.

Mengikut pendekatan perbelanjaan, pertumbuhan KDNK adalah disebabkan peningkatan permintaan luar iaitu eksport barangan dan perkhidmatan sebanyak 29.1 peratus, berikutan eksport baharu produk petroleum dan kimia.

Manakala, permintaan dalam negeri mencatatkan penurunan sebanyak 12.4 peratus, khususnya bagi perbelanjaan kapital. Walau bagaimanapun, penurunan ini diimbangi oleh peningkatan perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah sebanyak 2.1 peratus.

Kenyataan menyatakan bahawa KDNK adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran.

Laporan penuh KDNK Suku Pertama 2020 boleh didapati melalui laman se-sawang JPES di ‘www.deps.gov.bn’.