KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ekonomi Malaysia berkembang kukuh pada suku kedua 2017, dengan mencatatkan pertumbuhan 5.8 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 4.0 peratus pada suku yang sama tahun lepas.
Peningkatan pada suku kedua 2017, lebih baik daripada 5.6 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2017, dipacu oleh pertumbuhan kukuh dalam eksport kasar, sektor perkhidmatan dan pembuatan serta pelaburan swasta.
Dari segi penawaran, pertumbuhan ini didorong oleh prestasi yang lebih baik bagi semua sektor utama ekonomi, menurut Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan di sini.
“Berikutan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama tahun 2017, ekonomi Malaysia dijangka berkembang melebihi 4.8 peratus pada 2017,” katanya.
Menurut bank pusat, permintaan dalam negeri dijangka menjadi penyumbang utama pertumbuhan manakala bagi sektor luaran, eksport dijangka mendapat manfaat daripada pertumbuhan global yang lebih kukuh daripada jangkaan. – Bernama