Ke arah masa depan berdaya tahan, lestari

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Menurut Pertubuhan Kaji Cuaca Sedunia (WMO), pengeluaran gas rumah hijau global kekal tinggi meskipun pandemik COVID-19 di mana 2020 adalah salah satu tahun yang paling panas dengan suhu mencecah kira-kira 37 darjah Celsius yang direkodkan di utara Garisan Artik.

Trend peningkatan paras laut juga semakin cepat dan kehilangan permukaan Antartika dianggarkan 175 hingga 225 giga tan ais setahun, bermakna bahawa dunia tidak semakin perlahan tetapi melebihi ambang sama ada 1.5 atau 2 darjah Celsius di atas tahap pra perindustrian yang bermakna bahawa kesan perubahan iklim lebih teruk daripada apa yang telah dilihat.

Brunei hanya menyumbang kira-kira 0.025 peratus kepada pengeluaran karbon global, bagaimanapun negara sudah boleh melihat dan merasa kesannya.

“Pada masa ini terdapat beberapa bukti awal perubahan iklim terutamanya dalam kenaikan paras laut, hujan, kebakaran hutan dan tanah runtuh.”

Perkara berkenaan ditekankan oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak ketika membentangkan kertas kerjanya mengenai Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BNCCP) di Dewan Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Dr Nor Imtihan ketika membentangkan kertas kerja pada persidangan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

Beliau seterusnya berkata, dalam adaptasi Brunei kepada perubahan iklim, matlamat BNCCP adalah ke arah kedayatahanan iklim dan kerajaan telah membelanjakan kira-kira $68 juta dalam infrastruktur di bawah Pelan Pembangunan Negara yang memfokuskan ke atas keselamatan air, mitigasi banjir dan memperbaiki sanitasi.

“Bagaimanapun, penyelesaian berasaskan semula jadi mungkin boleh membantu usaha-usaha kita dengan lebih berkesan dan mapan,” tambah beliau.

Menurut beliau, hutan kekal sebagai penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang paling berkesan hari ini untuk pengurangan perubahan iklim, sebagaimana adanya penyesuaian iklim.

Pemulihan hutan bukan sahaja mengembalikan fungsi ekologi, tetapi juga mempercepat pemulihan kepelbagaian biologi.

Beliau berkata, BNCCP diperkenalkan pada bulan Jun 2020 yang bertujuan untuk membuka jalan negara menuju masa depan rendah karbon dan tahan iklim, melalui 10 kunci strategi.