Ke arah mobiliti mapan

Oleh Sim Y. H.

Gambar Ihsan Kementerian Perhubungan

BANGKOK, Thailand, 9 Nov – Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) kali ke-24 di Bangkok, Thailand, baru-baru ini telah berkongsi pengalaman dan dasar-dasar Negara Brunei Darussalam yang berkaitan dengan sektor pengangkutan yang mapan, termasuk inisiatif-inisiatif dalam sektor pengangkutan darat dan udara.

Bagi sektor pengangkutan darat, Pelan Induk Pengangkutan Darat mempunyai beberapa strategi yang membantu ke arah pengangkutan dan mobiliti yang mapan, saksama dan cekap.

Antara strategi-strategi berkenaan ialah mengurangkan kebergantungan kereta (car dependency) melalui peningkatan pengangkutan melalui bas awam, teksi dan pengangkutan air.

Manakala itu, tambahnya, bagi sektor pengangkutan udara, Negara Brunei Darussalam sebagai ahli kepada Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), kini memberi tumpuan kepada menangani pelepasan gas rumah hijau penerbangan (greenhouse gas emissions).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perhubungan, Negara Brunei Darussalam, hari ini, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib turut menghadiri mesyuarat-mesyuarat berkaitan bersama rakan-rakan Dialog ASEAN yang berlangsung pada 8 dan 9 November.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN ke-24 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib dan Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN bergambar ramai bersama TYT Jeneral (B) Prayut Chan-o-cha semasa Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN ke-24 di Bangkok, Thailand.

Turut menyertai rombongan Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Thailand, Tuan Yang Terutama Haji Ismail bin Haji Manap.

Mesyuarat ATM merupakan mesyuarat tahunan dan dihadiri oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab ke atas sektor pengangkutan yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Jeneral (B) Prayut Chan-o-cha di mana dalam ucapannya, beliau menggesa ATM ke-24 untuk memperkembangkan lagi hubungan pengangkutan yang lebih baik di dalam dan luar blok untuk meningkatkan perdagangan, pelancongan dan pelaburan.

Mesyuarat itu juga membincangkan kerjasama dan inisiatif dalam bidang pengangkutan serta tahap pencapaian sektor pengangkutan ke arah meningkatkan kesalinghubungan dan dalam mewujudkan sistem pengangkutan yang efisien, selamat dan berdaya tahan yang dapat mendukung integrasi ASEAN dan pencapaian Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community).

Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa pencapaian utama ATM ke-24 ialah penandatanganan satu dokumen iaitu Protokol 4 Hak Terminal Bersama antara Pusat-pusat dalam Mana-mana Wilayah Negara Anggota ASEAN di bawah Persetujuan Multilateral ASEAN dalam Liberalisasi Penuh Perkhidmatan Udara Penumpang.

Protokol itu memperluaskan lagi pelaksanaan dasar langit terbuka ASEAN dalam mencapai liberalisasi dan integrasi perkhidmatan udara. Dengan protokol itu, syarikat-syarikat penerbangan ahli negara ASEAN diberikan hak pengangkutan untuk berkhidmat ke dua atau lebih destinasi di negara ahli negara ASEAN yang lain di mana perkhidmatan itu adalah sebahagian laluan antarabangsa.

Selain daripada itu, beberapa dokumen penting juga diluluskan seperti Peta Jalan Bahan Bakar Ekonomi ASEAN bagi Sektor Pengangkutan 2018-2025: Dengan Tumpuan pada Kenderaan Ringan, Garis Pandu Petunjuk Pengangkutan Darat Mapan ke atas Efisien Tenaga dan Pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) dalam ASEAN dan Strategi Serantau ASEAN ke atas Pengangkutan Darat Mapan.

Kenyataan juga menyatakan bahawa menteri-menteri pengangkutan ASEAN turut bermesyuarat dengan rakan-rakan dialog China, Jepun dan Republik Korea di mana dalam hal itu, para menteri menghargai kemajuan yang dicapai dalam kerjasama pengangkutan dengan China, Jepun, dan Republik Korea yang akan mengukuhkan lagi hubungan pengangkutan ASEAN.

Para menteri pengangkutan ASEAN juga telah meluluskan pelan kerja bagi tahun 2019 dengan China dan Jepun. Antara program kerja dalam pelan-pelan tersebut termasuk projek atau aktiviti yang memudahkan pengangkutan, infrastruktur pengangkutan, kualiti dan pengangkutan mapan dan pembangunan sumber manusia.

Mesyuarat ATM ke-24 telah didahului oleh Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN ke-46 di mana delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi.