Sunday, April 20, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ke arah negara pintar

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Negara Brunei Darussalam seperti negara-negara lain, menikmati tahap kesalinghubungan infokomunikasi yang tinggi di mana penembusan jalur lebar mudah alih telah melepasi 100 peratus pada 2016 dan pada 2018 ia telah mencapai 130 orang pengguna bagi setiap 100 orang.

    Sementara itu, berdasarkan kaji selidik ICT isi rumah yang diterbitkan oleh AITI pada 2016, mendapati 75 daripada 100 isi rumah di Negara Brunei Darussalam mempunyai akses kepada internet.

    Oleh itu, dengan kadar kesalinghubungan yang tinggi, adalah amat penting dan perlu bagi negara untuk menyesuaikan diri kepada teknologi-teknologi digital kerana ia amat diperlukan untuk terus kekal relevan dan mempersiapkan diri bagi implikasi daripada pembangunan teknologi.

    Seruan itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan dan Telekomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof ketika berucap di Forum Masa Hadapan Pintar (Smart Future) yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini.

    Beliau berkata lagi bahawa dengan pemerhatian mendalam mengenai revolusi industri keempat dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menetapkan hala tuju dasar utama Kementerian Pengangkutan dan Telekomunikasi ke arah mencapai visi sebuah Negara Pintar, di mana ia dapat dicapai melalui pendekatan seluruh negara yang melibatkan pelbagai kementerian, agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta pihak-pihak yang berkepentingan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib ketika melancarkan Forum Masa Hadapan Pintar.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo dan Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty bergambar ramai semasa forum tersebut.

    Mengulas mengenai pengertian negara pintar itu, beliau berkata bahawa ia menggambarkan sebuah negara di mana penduduknya hidup berpuas hati, dipermudahkan dengan teknologi, yang menawarkan pelbagai peluang kepada semua.

    Beliau menambah bahawa hidup di dalam sebuah negara pintar akan membolehkan penduduknya untuk mendigitalkan seluruh benda yang rutin supaya dapat menumpukan usaha kepada perkara yang lebih utama iaitu sebuah ekonomi yang pelbagai dan lebih bersemangat serta untuk meningkatkan kualiti kehidupan untuk semua warga Brunei.

    Semua itu akan memudahkan Internet of Things (IoT) di mana dengan anggaran sebanyak 20.4 juta peranti yang disambungkan IoT di seluruh dunia menjelang 2020, ia setentunya akan memudahkan lagi keputusan harian.

    “Sebagai contoh, akan wujud navigasi jalan raya masa sebenar yang akan mengurangkan masa perjalanan kita dan menjadikan perjalanan kita lebih semasa. Navigasi masa sebenar juga akan menjadikan tempoh respons kecemasan lebih cepat, yang membawa kepada lebih banyak nyawa diselamatkan dan kerosakan dikurangkan,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Pada masa yang sama, ulas Yang Berhormat Dato, ia juga boleh menguruskan penggunaan tenaga dan utiliti.

    “Ini yang kita dibayangkan untuk Bandar Seri Begawan, iaitu selaras dengan Rangkaian Bandar Raya Pintar ASEAN seperti yang ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN di Sidang Kemuncak ASEAN ke-32 pada April 2018 di Singapura,” ujar beliau.

    Beliau menerangkan bahawa sebagai salah sebuah daripada 26 buah bandar raya rintis yang disenaraikan di bawah rangkaian itu, beliau berharap bahawa aplikasi dan inisiatif pintar itu tidak ditumpukan dalam Bandar Seri Begawan sahaja tetapi di seluruh negara.

    Beliau memetik kajian oleh Huawei dan Oxford Economics menganggarkan dalam 2016, ekonomi digital global bernilai AS$11.5 trilion iaitu 15.5 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global dan dengan digitalisasi yang tinggi, ia dijangka meningkat kepada 24.3 peratus KDNK global pada 2025.

    Beliau berkata unjuran itu jelas menunjukkan peluang yang signifikan yang boleh dimanfaatkan daripada ekonomi digital. Pada 2017, sumbangan sektor info-komunikasi kepada KDNK negara ialah 1.6 peratus dibandingkan dengan aktiviti-aktiviti ekonomi yang lain.

    Jelas kelihatan bahawa masih banyak ruang pembaikan bagi info-komunikasi untuk menjadi penyumbang signifikan kepada pertumbuhan KDNK negara dan sebagai pemudahcara penting dalam pertumbuhan sektor-sektor yang lain.

    Dalam hubungan itu, forum yang dianjurkan oleh AITI, adalah tepat pada waktunya di mana Brunei sedang aktif menggalakkan dan melaksanakan penyelidikan, analisis data dan inisiatif-inisiatif pintar merentas pelbagai sektor ekonomi.

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato menyatakan perasaan gembira dengan penganjuran Cybershop Fest oleh AITI pada 1 Februari nanti yang mengetengahkan penjual-penjual atas talian tempatan. Beliau berkata inisiatif itu memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana tempatan untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital dan menyediakan pengalaman yang lebih mengayakan kepada masyarakat di negara ini dalam usaha menuju ke arah Negara Pintar.

    Dengan perbankan internet di Brunei Darussalam berkembang sebanyak 135 peratus menurut Peta Jalan Pembayaran Digital 2019-2025 yang dilancarkan oleh AMBD, jelas Yang Berhormat Dato, beliau yakin inisiatif itu akan mendapat sokongan.

    Menurut laporan kaji selidik e-dagang di Brunei Darussalam 2018 yang diterbitkan oleh AITI, daripada pensampelan 1,000 pengguna, tujuh daripada 10 yang disoal adalah pengguna e-Dagang.

    Data itu menunjukkan tahap penggunaan e-Dagang yang tinggi di Brunei yang berpotensi untuk berkembang lagi, jelasnya lagi.

    Dalam usaha ke arah mempersiapkan negara sebagai sebuah Negara Pintar, Yang Berhormat Dato berkata kementeriannya mengambil pendekatan komprehensif untuk memaksimumkan potensi ekonomi digital dalam empat aspek utama iaitu pembaikan infrastruktur, sekuriti siber, ketangkasan dan penglibatan.

    Dari segi pembaikan infrastruktur, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa ia merupakan komponen utama untuk menjana persekitaran kondusif dan selamat bagi penjanaan pertumbuhan mampan, produktiviti dan memudahkan perniagaan.

    Bagi menuju ke arah transformasi Negara Pintar, infrastruktur telekomunikasi yang kukuh adalah amat penting seperti yang ditekankan dalam titah Baginda Sultan pada 17 Julai 2018, di mana kerajaan sedang mengkaji semula keperluan untuk menaiktarafkan infrastruktur telekomunikasi supaya dapat memudahkan perniagaan, mengurangkan kos melakukan perniagaan dan meningkatkan produktiviti.

    Dalam hubungan itu, beliau berkata bahawa kementeriannya sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta agensi-agensi relevan yang lain dalam perkara itu.

    Dari segi sekuriti siber pula, jelasnya, ia merupakan komponen penting dalam ekonomi digital dan dalam hubungan itu, Baginda Sultan berkenan untuk melantik Menteri Pengangkutan dan Telekomunikasi sebagai menteri yang bertanggungjawab untuk sekuriti siber.

    Beliau berkata dalam hubungan sekuriti siber, terdapat keperluan untuk melindungi data peribadi di mana dengan bandar raya menjadi pintar, mereka menyimpan lebih banyak data penduduknya yang setentunya membawa kepada kebimbangan mengambil langkah-langkah sekuriti perlindungan data.

    Aspek ketiga pula, jelas Yang Berhormat Dato ialah ketangkasan, di mana dengan revolusi industri keempat, terdapat keperluan untuk menjadi lebih tangkas bukan sahaja bagi sektor swasta tetapi juga sektor awam.

    Ke arah itu, jelasnya, perlunya melihat ke arah urus tadbir, proses dan rangka kerja serta perlu untuk memastikan bahawa semuanya adalah responsif dan relevan kepada keperluan industri.

    Aspek terakhir ialah penglibatan dan pada hemat Yang Berhormat Dato, ia merupakan faktor asas kerana interaksi dan proses berulang dengan pelbagai pihak yang berkepentingan domestik dan antarabangsa bagi mencapai dasar yang teliti dan holistik.

    Bagi Negara Brunei Darussalam untuk menjadi sebuah Negara Pintar, tekan Yang Berhormat Dato, sokongan industri adalah amat penting dan syarikat-syarikat harus melihat teknologi baharu itu sebagai peluang perniagaan baharu.

    Dalam hubungan itu, beliau menyeru pihak-pihak yang berkepentingan yang relevan untuk bekerjasama mengetengahkan aplikasi data besar dan IoT menerusi pelaksanaan projek-projek rintis utama merentas pelbagai sektor.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda