Ke arah pembaharuan struktur perniagaan digital

KUALA LUMPUR, 7 MEI – Keperluan kepada usaha bersepadu yang lebih kukuh dalam kalangan ekonomi APEC dan strategi yang lebih tertumpu kepada pembaharuan struktur, terutamanya dalam memanfaatkan teknologi digital moden untuk menangani cabaran ekonomi, menjadi lebih penting berbanding sebelum ini dengan impak daripada pandemik COVID-19.

Misalnya, jika peralihan kepada digital merupakan keperluan yang meningkat dalam beberapa bulan yang lepas, ia kini realiti yang nyata. Bagi sebahagian sektor masyarakat, seperti perniagaan yang lebih kecil, ia mengenai kelangsungan, kata Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi (EC) APEC, Dr James Ding.

Beliau berkata EC memberi sokongan untuk meneruskan agenda APEC dalam membantu ekonomi melaksanakan pembaharuan struktur bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan.

Oleh itu, ia dapat memainkan peranan penting dalam pemulihan rantau APEC.

“Jawatankuasa telah lama menerapkan idea memanfaatkan teknologi digital moden untuk menyelesaikan masalah. Ini penting kepada usaha kita dalam pembaharuan struktur – iaitu mengukuhkan dasar dan infrastruktur undang-undang untuk memudahkan menjalankan perniagaan dan menambah baik keadaan ekonomi,” katanya hari ini.

Beliau berkata terdapat banyak cara kerajaan boleh menggunakan penyelesaian digital yang mudah untuk membantu usahawan yang terjejas oleh langkah sekatan pergerakan dan gangguan dalam rantaian bekalan.

Mengambil pulangan dan penyelesaian pertikaian, misalnya menurut kajian oleh Majlis Penasihat Perniagaan APEC, merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) apabila melakukan perdagangan rentas sempadan, dengan 94 peratus daripada mereka menyatakan sebagai masalah.

Satu lagi kajian menyatakan bahawa sebanyak 35 peratus daripada pertikaian rentas sempadan melibatkan MSME kekal belum diselesaikan, dengan purata nilai pertikaian sekitar AS$50,000.

Kumpulan Rakan Pengerusi EC mengenai Pengukuhan Infrastruktur Ekonomi dan Undang-Undang (SELI) telah membangunkan pelan kerja untuk mempromosikan penyelesaian pertikaian dalam talian (ODR) — penyelesaian yang inovatif untuk membantu perniagaan kecil yang menjalankan perniagaan di luar negara, dan yang menghadapi halangan apabila berkaitan mengakses keadilan dalam pertikaian transaksi rentas sempadan.

Selepas beberapa tahun pembangunannya, Menteri-Menteri PKS APEC menyatakan sokongan kepada Rangka Kerja ODR pada September 2019, menyatakan ia akan menyediakan platform yang menjimatkan kos dan cekap untuk menyelesaikan pertikaian rentas sempadan dengan nilai rendah.

Sehingga hari ini, China; Hong Kong, Jepun; Singapura dan Amerika Syarikat telah memilihnya, manakala beberapa ekonomi sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menyertainya.

ODR dibangunkan untuk membantu perniagaan kecil memasuki peringkat global.

Beliau berkata Rangka Kerja ODR antara contoh bagaimana teknologi moden dan pembaharuan struktur dapat membantu perniagaan dalam semua saiz.

EC akan terus mencari cara pembaharuan struktur dapat menyumbang dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Digital dan Internet APEC, kata Ding.

“Kami juga dalam proses persiapan untuk Mesyuarat Pembaharuan Struktur peringkat Menteri yang akan datang, yang akan meletakkan asas untuk fasa program pembaharuan struktur yang akan datang bagi ekonomi APEC dari 2021 hingga 2025,” katanya.

Ia akan menjadi peluang kepada ekonomi APEC untuk meninjau bagaimana pembaharuan struktur dapat membantu memulihkan ekonomi rantau itu selepas pandemik dan malah mengukuhkannya untuk menghadapi krisis ekonomi pada masa depan.

Terdapat 21 ekonomi yang menjadi anggota APEC iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam. – Bernama