Ke arah pembayaran digital

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Teknologi baharu yang terus dibangunkan memberikan impak kepada kehidupan dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) mengenal pasti serta melihat potensi yang amat besar dalam sektor kewangan negara untuk memanfaatkan perkembangan teknologi terkini itu serta merubah kehidupan seharian menerusi transformasi ekonomi pembayaran negara.

Dalam hubungan itu, pemain-pemain industri disarankan untuk terus berusaha merealisasikan visi Negara Pembayaran Digital menjelang 2025, kata Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman ketika berucap di Pelancaran Peta Jalan Pembayaran Digital bagi Negara Brunei Darussalam 2019-2025, hari ini.

Pada 2017, penggunaan pembayaran mudah alih dan atas talian telah berkembang lebih daripada 100 peratus dari 2016 dan pada tempoh yang sama, penggunaan kad kredit dan debit juga menunjukkan peningkatan lebih 30 peratus dengan sejumlah $2 bilion dibelanjakan, jelasnya lagi dalam majlis yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa.

Tambah Awang Yusof, AMBD mengenal pasti terdapat potensi untuk dikembangkan dan telah mengambil peluang itu untuk membangunkan Peta Jalan Pembayaran Digital untuk memudahkan, membolehkan dan menerajui ekonomi pembayaran supaya dapat menjadikan Brunei sebuah Negara Pembayaran Digital menjelang 2025.

Peta Jalan Pembayaran Digital itu merupakan mercu tanda yang signifikan di bawah Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2016-2025 (Financial Sector Blueprint) ke arah mencapai aspirasi Wawasan Brunei 2035 bagi sebuah ekonomi yang pelbagai dan dinamik.

Awang Yusof menyempurnakan pelancaran Peta Jalan Pembayaran Digital bagi Negara Brunei Darussalam 2019-2025.
Awang Yusof menyampaikan ucapannya pada majlis tersebut.
Para jemputan menyaksikan video yang ditayangkan pada majlis yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi Anggerek Desa.

Mengulas mengenai nilai dan kos ke arah usaha mencapai penghijrahan kepada pembayaran digital, Awang Yusof menyatakan ia memerlukan pelaburan dan usaha yang besar untuk menyediakan infrastruktur pasaran tetapi penggunaan pembayaran digital memberikan penggunaan lebih sekuriti dan kemudahan yang akan memberikan penjimatan kos jangka panjang kepada pembekal perkhidmatan.

Pada masa yang sama, perniagaan juga dapat meningkatkan lagi produktiviti dan keberkesanan operasi serta membolehkan penyusunan semula sumber-sumber yang terdahulu digunakan bagi mengendalikan cek dan wang tunai.

Penggunaan pembayaran digital juga akan mempercepatkan pembayaran apabila infrastruktur pasaran pembayaran sudah disediakan tetapi sebuah pusat pembayaran akan menyediakan penyelesaian bersepadu yang dapat menghubungkan pelbagai sistem dan rangkaian pembayaran, menggunakan standard yang sama serta mengelakkan perpecahan bagi pasaran pembayaran kecil.

Menurutnya, pada jangka panjang, infrastruktur pembayaran yang sama boleh digunakan sebagai konduit bagi integrasi merentas sempadan dengan pasaran-pasaran ASEAN yang lain supaya sesiapa sahaja dalam ASEAN boleh membuat pembayaran terjamin di seluruh rantau dengan cepat, mudah dan rendah kos.

Bagi mencapai hasrat itu, kepercayaan merupakan kunci utama kejayaan yang harus dibina dalam ekosistem pembayaran digital, tekan Awang Yusof lagi.

“Ini memerlukan pendidikan awam dan komunikasi serta pengukuhan kerjasama di antara pengawal selia, kerajaan, pembekal perkhidmatan pembayaran (bank atau bukan bank), syarikat-syarikat telekomunikasi, peniaga-peniaga, perniagaan dan pengguna.”

Beliau menambah bahawa AMBD sebagai pengawal selia, akan terus melindungi kepentingan pengguna dan pada masa yang sama, akan menekankan serta menggalakkan inovasi di mana AMBD regulatory sandbox yang dilancarkan pada 2016, merupakan salah satu peralatan yang sedia ada, yang boleh membantu.

Terdahulu dalam kata alu-aluannya, Ketua Sistem Pembayaran dan Penyelesaian AMBD, Lim Shaw Fhen menyatakan pembangunan ekosistem pembayaran digital itu menandakan satu langkah ke hadapan yang besar ke arah membina sebuah infrastruktur kewangan yang moden dan kukuh bagi Negara Brunei Darussalam.

Majlis kemudian menyaksikan Awang Yusof menyempurnakan pelancaran Peta Jalan Pembayaran Digital bagi Negara Brunei Darussalam 2019-2025. Para jemputan seterusnya menyaksikan video mengenai pengenalan Peta Jalan Pembayaran Digital itu di mana ia mengongsi strategi utama menuju ke arah Negara Pembayaran Digital, peranan pihak-pihak yang berkepentingan serta manfaat pembayaran digital kepada para pengguna.

Majlis itu dihadiri oleh pegawai-pegawai dari agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi kewangan, syarikat-syarikat telekomunikasi, syarikat-syarikat teknologi kewangan (Fintech) serta pihak industri yang berkenaan.

Maklumat lanjut mengenai dengan Peta Jalan Pembayaran Digital Bagi Negara Brunei Darussalam 2019-2025 boleh diperoleh dari laman sesawang AMBD, www.ambd.gov.bn.

SAHAM
TerdahuluDialog AJCT buka tirai
SeterusnyaJuve belasah Chievo