Ke arah pemerkasaan industri minyak dan gas Negara

Oleh Rafidah Jumat

Sejak mencapai kemerdekaan pada 1984, Negara Brunei Darussalam terus mengorak langkah bukan sahaja dalam memantapkan kedudukannya sebagai sebuah negara yang berkembang maju, bahkan turut memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara di mata dunia.

Industri minyak dan gas masih menjadi tulang belakang ekonomi negara dengan satu-satunya syarikat minyak dan gas dalam negara, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) bermatlamat untuk meneroka, menggali dan menjual hidrokarbon dengan cara yang bertanggungjawab.

BSP berperanan dalam mencari gali dan menghasilkan minyak mentah serta gas asli cecair manakala Brunei LNG beroperasi memproses gas asli cecair yang dibeli dari BSP untuk dijual ke negara seperti Jepun dan Korea.

Sementara Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) pula terlibat dalam pemasaran hasil minyak yang diperoleh daripada kilang penapis minyak Brunei untuk dipasarkan dalam negara.

BSM pada 10 Februari 2020 melakar mercu tanda dan detik penting dalam sejarah penubuhan ulang tahun ke-60 apabila memperkenalkan minyak Shell yang canggih iaitu Shell V-Power, yang merupakan minyak premium yang dihasilkan daripada penyelidikan dan pembangunan ekstensif di antara Shell dan Ferrari, dan telah diuji secara meluas dengan jarak sejauh lebih tiga juta kilometer dalam pelbagai jenis keadaan jalan raya untuk lebih 250 jenis kereta yang berlainan.

BSM melakar mercu tanda dan detik penting dalam sejarah penubuhan ulang tahun ke-60 apabila memperkenalkan minyak Shell yang canggih iaitu Shell V-Power.

Shell V-Power membolehkan enjin kereta beroperasi pada tahap optimum dan lebih efektif untuk memberikan kuasa dan penggunaan minyak secara efisien.

Minyak gasolin dan diesel Shell V-Power merupakan dua minyak baharu yang ditambah dalam barisan produk sedia ada untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

Dalam laporan 15 April 2017, Brunei berjaya menemui semula telaga minyak dan gas di Telaga Layang-Layang di kawasan Lumut, dan ini merupakan penemuan signifikan pertama bagi BSP dalam tempoh 37 tahun selepas lokasi yang sama pernah diterokai.

Dilaporkan jumlah sebenar penemuan penting itu masih belum dinilai tetapi kiraan awal menunjukkan bahawa sasaran awal iaitu 18MMboe telah dilepasi.

Dilaporkan juga, potensi pendapatan yang dijana adalah bersamaan dengan kira-kira 15 peratus daripada belanjawan tahunan negara iaitu sebanyak $6 bilion.

Telaga baharu itu dianggarkan mampu mengeluarkan hasil sebanyak 18 juta tong minyak.

Dalam aspirasi negara untuk merangsang pertumbuhan ekonominya, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah secara aktif mempromosi kepelbagaian pembangunan negara dengan memfokuskan kepada beberapa inisiatif dan matlamat strategik melalui pelaksanaan Wawasan Brunei 2035, yang mana antaranya mempromosi pelaburan asing dan domestik.

Sehubungan itu, syarikat gergasi petrokimia dari Republik China iaitu Hengyi Industries Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei telah menandatangani satu perjanjian penting untuk membangunkan projek loji penapisan minyak dan aromatik di Pulau Muara Besar (PMB).

Projek ini merupakan salah satu pelaburan langsung asing terbesar di Brunei, dan adalah projek petrokimia kedua di Brunei sekali gus menyumbang kepada matlamat negara untuk memperluaskan rantaian nilai industri minyak dan gas.

Semasa fasa pertama, kilang penapisnya dijangka mempunyai kapasiti untuk menapis 175,000 tong minyak mentah setiap hari, menghasilkan produk-produk bermutu tinggi bagi menampung permintaan domestik dan aromatik untuk dieksport ke China sebagai stok aset Zhejiang Hengyi Petrochemical Co Ltd. Manakala fasa kedua pula merangkumi rancangan untuk memperluaskan lagi kilang aromatik, menyediakan blok-blok bangunan untuk industri petrokimia.