Ke arah perkhidmatan yang lebih baik

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Berikutan dengan pengumuman mengenai transformasi industri telekomunikasi oleh Darussalam Assets Sdn Bhd pada Februari lalu, Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) kini sedang giat melaksanakan beberapa fasa yang menumpukan kepada penstabilan operasi dan pelaksanaan infrastruktur.

UNN dalam kenyataannya, menjelaskan setakat hari ini, organisasi tersebut telah berjaya melaksanakan projek-projek teknikal dalam usaha penyedia perkhidmatan untuk memanfaatkan teknologi dan keupayaan rangkaian yang lebih baik bagi menghasilkan pelbagai produk untuk orang ramai, selain meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam rangkaian mudah alih.

Menurut ketua pegawai eksekutif UNN, syarikat itu kini sedang giat merekrut warga tempatan yang berpotensi daripada tiga syarikat telekomunikasi yang sedia ada di negara ini untuk mengisi kekosongan jawatan dalam organisasi berkenaan.

“UNN bermula sebagai sebuah syarikat baharu, justeru kami ingin bekerjasama dengan pakar-pakar tempatan untuk membina sebuah organisasi yang berprestasi dan mengajar warga tempatan agar dapat mengendalikan organisasi ini bersesuaian dengan UNN yang 100 peratus orga-nisasi tempatan,” tambahnya.

Sejak penubuhan UNN, ia telah meraih pelbagai pencapaian, antaranya ialah pengambilalihan dan pemindahan semua infrastruktur dan aset rangkaian yang dikendalikan dan dimiliki oleh syarikat telekomunikasi sedia ada, termasuk Telekom Brunei Berhad (TelBru), Datastream Technology Sdn Bhd (DST), Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) dan Brunei International Gateway Sdn Bhd (BIG) dalam usaha untuk menyatukan semua rangkaian untuk memberikan perkhidmatan yang berdaya tahan dan berkualiti kepada penduduk di seluruh negara.

Pemodenan penuh infrastruktur telah dirancang namun penambahbaikan serta-merta dalam jangka pendek jika perlu akan dibuat pada minggu-minggu akan datang. UNN akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai penambahbaikan ini dalam masa yang ditetapkan.

Selain daripada projek penjenamaan fizikal, UNN juga baru-baru ini melancarkan laman web rasmi mereka. Laman web ini merupakan platform penting sebagai rujukan orang ramai untuk mengetahui objektif UNN, perkhidmatan yang sediakan, pengumuman penting dan sebagainya.

UNN merupakan sebuah organisasi yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan seperti syarikat telekomunikasi lainnya, ia juga diiktiraf sebagai sebuah syarikat yang berkaitan dengan pihak kerajaan di bawah Darussalam Assets Sdn Bhd.

Skop peranan UNN juga sejajar dengan visi dan misinya iaitu untuk mewujudkan platform digital moden dan cekap untuk menyokong Wawasan Brunei 2035 ke arah transformasi ICT, termasuk teknologi 5G dan Internet of Things (IoT), di mana UNN telah memulakan penglibatan awal dengan pihak berkepentingan utama dan pengguna teknologi yang berpotensi untuk membentuk rangkaian masa depan. Organisasi ini juga komited sepenuhnya untuk membangunkan dan memperkasakan inisiatif bagi sebuah negara pintar ke arah meningkatkan kualiti dan pelbagai penyediaan perkhidmatan dengan akses yang lebih baik.