Keadaan berangin di kawasan laut

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga hujung bulan Mac ini.

Berdasarkan klimatologi Negara Brunei Darussalam, bulan Februari dan Mac mempunyai bilangan hari-hari berhujan dan juga jumlah turunan hujan yang terendah berbanding bulan-bulan lain.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), kelmarin, sepanjang tempoh ini negara pada lazimnya akan mengalami keadaan cuaca yang panas dan kering, di mana aktiviti turunan hujan juga berkurangan disebabkan keadaan atmosfera yang stabil.

Impak-impak cuaca yang berpotensi berlaku semasa tempoh fasa kedua Monsun Timur Laut adalah keadaan panas di waktu siang dan ada kalanya suhu udara maksimum meningkat antara 33 ke 35 darjah Celsius, selain keadaan kering juga boleh menyebabkan cuaca sedikit berjerebu.

Ramalan am bagi Negara Brunei Darussalam sehingga hujung minggu ini adalah berangin terutamanya di kawasan laut, manakala keadaan berangin dijangka boleh menyebabkan keadaan ombak meningkat ke paras bergelora yang mencapai ketinggian tiga meter.

Sementara itu, kelajuan angin boleh meningkat sehingga 40 hingga 50 kms di mana keadaan ini adalah merbahaya terutamanya kepada bot-bot kecil dan aktiviti rekreasi dan sukan di laut.

BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX atau menghubungi Pusat Ramalan Cuaca di talian 114.