Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keadaan hidup Rohingya harus diperbaiki

    BANGKOK, 6 Ogos – Bangladesh harus memperbaiki keadaan hidup etnik Rohingya di kem pelarian terbesar di dunia dan merancang untuk memindahkan penduduk itu, menurut Pemerhati Hak Kemanusiaan hari ini.

    Hampir satu juta etnik Islam Rohingya yang dihalau keluar dari Myanmar tinggal di selatan Bangladesh dengan 700,000 daripadanya tiba selepas tindakan ganas terhadap etnik minoriti itu bermula pada Ogos tahun lepas.

    Bangladesh dan Myanmar telah menandatangani perjanjian penghantaran balik tetapi etnik Rohingya menolak untuk kembali tanpa jaminan keselamatan dan hak kemanusiaan, termasuk kebebasan pergerakan dan kewarganegaraan.

    Sementara itu, mereka menunggu di kem-kem yang sempit dan berkongsi dengan keluarga yang lain dengan pondok buluh yang tipis di kawasan bukit-bukit berlumpur. Purata ruang-ruang di bahagian kem besar Cox’s Bazar adalah 10.7m persegi bagi setiap orang, berbanding dengan standard kem pelarian 45m persegi bagi setiap orang, menurut laporan itu, yang berdasarkan berpuluh-puluh temubual dengan etnik Rohingya, para pegawai, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada bulan Mei. – AFP

    Gambar fail pada 15 Januari 2018 menunjukkan perempuan etnik Rohingya berbaris di luar pusat pembahagian makanan di kem pelarian Balukhali, 50km dari Cox’s Bazar, Bangladesh. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda