Keadaan Kim Won Hae stabil, masih dikuarantin

Pelakon senior terkenal Korea Selatan, Kim Won Hae (gambar bawah) masih menerima rawatan di sebuah pusat kuarantin dan berada dalam keadaan stabil selepas dijangkiti COVID-19 pada 19 Ogos lalu.

Pelakon berkenaan disahkan positif sehari selepas rakan pelakonnya dalam drama Jjamppong, Seo Sung Jong mendapat keputusan ujian positif virus terbabit.

Menurut laporan media, pengurus aktor tersebut sudah disahkan negatif daripada wabak itu dan sedang menjalani ujian saringan.

“Kim Won Hae disahkan positif COVID-19 pada 19 Ogos lalu selepas salah seorang daripada barisan pelakon teater muzikal Jjamppong turut disahkan positif wabak itu.

“Kini, aktor itu dimasukkan ke sebuah pusat kuarantin dan sedang menerima rawatan. Keadaannya sekarang stabil.

“Pengurus kepada Kim Won Hae sudah disahkan negatif COVID-19 dan akan menjalani ujian saringan dalam masa dua minggu ini,” ujarnya.

Sebelum ini, barisan pelakon teater muzikal itu termasuk Kim Won Hae dan Heo Dong Won dijangkiti COVID-19 daripada aktor Seo Sung Jong.

Sementara itu, produksi drama To All the Guys Who Loved dibintanginya mengambil keputusan menghentikan penggambaran.

Drama yang turut dibintangi Hwang Jung Eum, Yoon Hyun Min, dan Seo Jin Hoon itu masih berbaki dua episod untuk dibuat penggambaran. – Agensi