Keadaan lengang di seluruh negara

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Operasi Pulih yang merangkumi kawalan pergerakan ketat dari pukul 8 malam hingga 4 pagi bermula hari ini dengan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menjalankan sekatan-sekatan jalan raya dan rondaan di beberapa tempat.

Selain pihak polis, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung juga membuat pemantauan di kawasan-kawasan kampung bagi memastikan penduduk kampung berada di rumah.

Tinjauan wartawan Media Permata telah menyaksikan jalan raya lengang pada pukul 8 malam dan telah mendapati pihak-pihak berkuasa menjalankan tugas membuat sekatan jalan raya.

Sementara itu, tinjauan di kawasan-kawasan kedai seperti di kawasan Gadong dan Kiulap pula menyaksikan kedai-kedai patuh dengan arahan yang diberikan dengan menutup operasi mereka sebelum pukul 8 malam lagi.

Hanya mereka yang mempunyai urusan-urusan kecemasan dan mendesak atau menjalankan kerja sebagai petugas kritikal sahaja diberikan pengecualian untuk keluar rumah pada ketika ini.

Bagi sama-sama menjayakan operasi tersebut, orang awam juga dikehendaki untuk melaporkan sebarang insiden yang didapati melanggar sebarang peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) kepada pihak berkuasa di talian-talian hotline 8176148, 8175148, 8166148 dan 8155148.

Diharapkan dengan pelaksanaan Operasi Pulih yang akan berjalan selama 14 hari tersebut akan dapat mengawal penularan wabak dan lebih penting lagi, memulihkan kehidupan seharian pasca COVID-19 agar kembali kepada normal sekali gus memulihkan keadaan ekonomi negara yang telah terjejas disebabkan pandemik.

Pihak berkuasa turut menekankan sesiapa yang didapati melanggar arahan tanpa alasan munasabah boleh dikenakan denda kompaun $100 seorang bagi setiap kesalahan.

Tinjauan wartawan Media Permata di kawasan perniagaan Kampung Kiulap yang lengang selepas bermulanya Operasi Pulih bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.