LIMA – Kelihatan ratusan bunga orkid terus terpelihara menyerikan lagi suasana pergunungan di bandar raya purba yang terkenal dengan keindahan Machu Picchu sehingga ada di antaranya turut menyerupai seperti spesies burung liar.
“Kami memiliki pelbagai spesies orkid yang menyerupai seperti bentuk binatang, serangga, kupu-kupu dan banyak lagi,” jelas ahli biologi, Carmen Rosa Soto.
Ahli biologi dari Inkattera, sebuah persatuan khusus untuk memelihara flora dan fauna telah giat melaksanakan usaha tersebut di Pusat Penjagaan Orkid Waqanki.
“Orkid dianggap sebagai keluarga tanaman yang cukup berharga dan mudah berevolusi. Di Machu Pichu sendiri terdapat sebanyak 89 genus orkid yang memiliki bentuk dan saiz yang berbeza,” jelas Soto.
Setiap jenis orkid itu memiliki saiz dan warna yang berbeza di mana ia terus berevolusi selama berabad-abad sehingga ada kalanya ia menyerupai seperti bentuk serangga atau burung-burung liar bagi memudahkan proses polinasi.



“Antara serangga yang kerap hinggap pada bunga ini adalah seperti lebah, rama-rama dan sekumpulan burung kecil yang secara tidak langsung turut memudahkan proses polinasi,” tambah Soto.
Menurut Joseph Quispe yang merupakan seorang pakar orkid tempatan menjelaskan bahawa nama pusat itu adalah diinspirasikan daripada Masdevallia veitchiana, sebuah khazanah kebangsaan Peru yang turut dirujuk sebagai Waqanki oleh masyarakat purba di Tamadun Inca yang dipercayai individu pertama yang menanam tanaman tersebut.
Bunga orkid yang memiliki dua tona warna jingga menyerupai seperti paruh panjang pada burung liar itu memiliki tiga kelopak dan bahagian atasnya agak tirus seperti jarum.
Quispe turut menjelaskan bahawa bunga-bunga orkid memang memiliki bentuk yang agak unik sehingga ada di antaranya turut menjadi simbol kepada Machu Picchu.
Menurut legenda, tumbuhan bunga orkid merah mula wujud atas kesedihan seorang puteri dari Empayar Inca yang berasa patah hati tatkala pahlawan lelaki yang dicintainya telah berjuang dalam sebuah peperangan.
Dalam keadaaan hatinya yang lara itu, puteri itu telah lari ke hutan dan menangis dengan kuat sehingga menitiskan air mata darah sekali gus menzahirkan orkid berwarna merah.
Kesedihan yang berterusan itu secara tidak langsung turut meragut nyawanya dan jasadnya dipercayai telah berubah menjadi spesies orkid Waqanki. Dalam bahasa purba Quechuan, perkataan Waqanki merujuk kepada maksud ‘anda akan menangis.’
Sekembalinya daripada peperangan itu, pahlawan tersebut telah berasa kecewa apabila mendapati bahawa kekasihnya telah meninggal dunia dan bersumpah di hadapan gunung itu untuk meminta dirinya ditransformasi menjadi burung liar dan bermula dari situ bentuk unik pada bunga tersebut dipercayai telah wujud.
Habitat spesies orkid tersebut memang diakui berasal dari Peru namun kini ia juga dipercayai telah berjaya ditanam di beberapa buah tempat.
Pusat kajian tersebut juga berperanan sebagai pusat kajian yang sering menjadi tuan rumah kepada beberapa acara menarik sekaligus berjaya menarik ramai pakar, saintis dan pencinta alam sekitar di seluruh dunia.
Quispe turut menjelaskan bahawa pusat tersebut juga telah berjaya mendaftarkan 18 spesies tumbuhan baru dan terus berusaha untuk menyelongkar lebih banyak spesies lain. – Xinhua