Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Keagresifan tigerfish jadi tarikan

    Oleh Raz AS

    Tigerfish, tiervis, ngwesh atau nama saintifiknya hydrocynus vittatus, merupakan spesis ikan pemangsa air tawar yang boleh didapati di sebahagian besar benua Afrika.

    Sesuai dengan namanya, ikan ini pernah dilihat melompat keluar dari air untuk menangkap burung layang-layang yang sedang terbang rendah. Seumpama seekor harimau yang menerkam mangsanya.

    Ikan yang pernah menjadi fokus dalam salah satu episod siri Monster Fish yang diacarakan oleh Jeremy Wade ini mempunyai badan berwarna keperakan, dengan garis-garis nipis hitam mendatar. Bentuk badannya memanjang dengan sirip berwarna kemerahan.

    Saiz kepalanya yang besar menempatkan gigi-gigi tajam dan menggerunkan, umpama taring harimau, yang mana setiap rahangnya mempunyai lapan bilah gigi.

    Tigerfish jantan mempunyai saiz badan yang lebih besar berbanding betina. Ia boleh membesar sehingga mencecah panjang kira-kira 105 sentimeter.

    Memiliki rupanya yang unik dan menggerunkan, tigerfish juga mempunyai peminatnya sendiri dalam kalangan penggiat hobi ikan hiasan. – Agensi

    Bagi penduduk setempat, ikan ini merupakan sumber makanan dan pendapatan yang penting. Bukan sahaja ditangkap untuk dimakan, bahkan ia juga merupakan tarikan pelancong terutama dalam kalangan pemancing-pemancing rekreasi dan sport fishing.

    Disebabkan kepentingannya dari segi ekologi dan ekonomi itu, tigerfish telah dikaji secara mendalam oleh kumpulan-kumpulan pemuliharaan dan pengkaji-pengkaji dari universiti.

    Secara amnya, tigerfish akan berlegar di bahagian dasar sungai utama dan tasik. Meskipun begitu, pada hari siang ia lebih mudah didapati di bahagian berdekatan dengan permukaan, dan bergerak ke kawasan dalam apabila malam menjelma.

    Manakala itu, ikan yang masih kecil atau juvenil akan berenang dalam kumpulan berbanding ikan dewasa yang lebih cenderung untuk hidup dan berburu sendirian.

    Perihal mengawannya masih belum diketahui dengan terperinci, bagaimanapun, dipercayai ia berlaku dalam masa beberapa hari antara bulan Disember dan Januari ketika musim hujan dan paras air naik. Ikan betina akan mengeluarkan telurnya di kawasan tumbuhan yang tenggelam di mana anak-anak ikan menetas dan menetap di sana sehingga paras air kembali turun memaksanya berpindah. Ikan-ikan ini boleh berhijrah sehingga 100km jauh dari sungai tempat asalnya.

    Kerana rupanya unik dan menggerunkan, tigerfish juga mempunyai peminatnya sendiri dalam kalangan penggiat hobi ikan hiasan. Meskipun begitu ia memerlukan tahap kepakaran yang tinggi dengan saiz akuarium yang sangat besar, sekurang-kurangnya 2500 liter. Ikan ini tidak dapat ditempatkan dengan ikan-ikan yang bersaiz lebih kecil daripadanya walau daripada spesies yang sama, jika tidak ia akan menjadinya santapan.

    Selain saiznya yang besar dan giginya yang tajam, sifatnya yang sangat agresif menjadikan tigerfish sangat susah untuk dikendalikan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...