Keakraban sentuh jiwa rakyat

Oleh Yusrin Junaidi & Sim Y.H

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Sifat kepimpinan dan keperibadian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai seorang raja yang berwibawa, bijaksana dan berjiwa rakyat jelas terbukti dengan keberangkatan Baginda bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah yang berlangsung di Daerah Temburong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-73.

Keakraban di antara seorang raja dengan rakyat jelata pada acara tersebut melambangkan keutuhan pemerintahan beraja yang sanggup turun padang untuk menatap wajah, bersalaman dan berinteraksi dengan rakyat tanpa mengira keadaan cuaca yang ada kalanya hujan, panas terik satu perkara yang jarang sekali berlaku di kebanyakan negara di dunia, namun ia sudah menjadi tradisi dan amalan bagi negara ini.

Keberangkatan Baginda bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong dimeriahkan dengan kehadiran rakyat dan penduduk berbilang bangsa di Daerah Temburong.

Ketika ditemui Media Permata, kesemuanya melahirkan rasa syukur dan gembira bagi menantikan keberangkatan Baginda bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di daerah berkenaan hari ini.

Victor Thebert dari Perancis ketika ditemui merasa amat terharu melihat keakraban Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama rakyat dan ini menunjukkan bahawa Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang harmoni dan aman.

Awang Wafiy Jamil merasa amat bangga kerana dapat menunjukkan komitmennya pada acara bercemar duli berkenaan.
Julian Rnoda ketika ditemui Media Permata pada majlis tersebut.
Victor Thebert ketika ditemui media merasa amat gembira kerana berkesempatan menyaksikan keakraban seorang raja bersama rakyatnya.
Lans Koperal Zainuddin berkata Baginda Sultan merupakan seorang pemimpin yang sangat prihatin terhadap kebajikan rakyatnya.
Haji Moksin merasa amat bersyukur kerana berkesempatan bertemu dan bersua muka dengan Baginda Sultan berserta kerabat diraja pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah yang berlangsung di Daerah Temburong.

Menyentuh mengenai Majlis Bercemar Duli bagi Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Temburong beliau melihat ianya sangat meriah dan unik lain daripada yang lain.

Begitu juga pendapat Julian Rnoda dari Perancis yang turut menyembahkan ucapan selamat menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, semoga Baginda Sultan sentiasa dilanjutkan usia dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam.

Awang Wafiy Jamil, peserta PKBN pengambilan ke-6, berkata penglibatan pelatih PKBN pada Majlis Bercemar Duli bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia adalah menunjukkan kepada Baginda Sultan dengan komitmen yang padu untuk memberikan perkhidmatan dan bantuan demi untuk kelancaran majlis berkenaan.

Beliau juga ingin mengucapkan raya syukur atas pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang selama ini telah memberikan pemedulian Baginda terhadap kebajikan rakyat.

Lans Koperal Zainuddin bin Marsal, selaku Focal Point Pengawasan Kejiranan Daerah Temburong juga merasa amat gembira kerana dapat menyertai majlis bercemar duli dan bersua muka dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Menurutnya, acara hari ini sangat unik dan dia merasa terharu melihat raja negara ini sangat rapat dengan rakyatnya dan juga prihatin terhadap rakyat dan penduduknya.

Beliau berkata, “Baginda Sultan merupakan seorang pemimpin yang sangat memeduli dan prihatin kepada semua rakyat dan penduduk di negara ini, dan ia menjadikan Baginda Sultan sangat berbeza daripada para pemimpin dunia yang lain.”

Manakala penduduk setempat, Haji Moksin bin Awang Mathir, turut melahirkan kegembiraan dan berbesar hati atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Daerah Temburong, memberikan kesempatan kepada keluarganya bertemu dan bersua muka bersama Baginda Sultan dengan lebih dekat lagi.

“Kami sangat gembira menyambut keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Daerah Temburong. Acara hari ini sangat meriah dan dengan keberangkatan Baginda Sultan menambahkan lagi keceriaan rakyat dan penduduk di daerah ini,” katanya.

Keberangkatan Baginda pada majlis tersebut sememangnya menjadi detik ristaan yang dinantikan oleh rakyat dan penduduk di daerah berkenaan dan sebagai salah satu acara penyeri bagi menyambut majlis keberangkatan berkenaan dengan menyembahkan persembahan khas.