Keamanan kunci pelan damai AS

MANAMA, BAHRAIN, 26 JUN – Kestabilan dan keselamatan adalah penting kepada kejayaan pelan ekonomi Amerika Syarikat (AS) berjumlah AS$50 bilion untuk Palestin yang menumpu pada infrastruktur dan pembangunan, meninggalkan aspek politik yang menjadi kunci kepada penyelesaian konflik Israel-Palestin, kata ketua kewangan antarabangsa dan pelabur global hari ini.

Sementara mengalu-alukan inisiatif Amerika pimpinan menantu dan penasihat kanan Presiden Donald Trump, Jared Kushner, ahli panel pada persidangan di Bahrain yang berhasrat merangsang pelan tersebut berkata ia akan bergelut tanpa pentadbiran yang baik, kedaulatan undang-undang dan prospek realistik keamanan berkekalan.

Palestin telah pun menolak cadangan itu disebabkan ia tidak termasuk pengiktirafan tuntutan politik mereka, termasuk berakhirnya pendudukan Israel dan penubuhan sebuah negara bebas.

Meskipun tanpa isu berkenaan dalam cadangan dan keengganan pentadbiran Trump menyokong penyelesaian dua negara yang telah lama dilihat sebagai satu-satunya jalan kepada keamanan, ahli panel mengeluarkan komen mereka dengan rujukan kepada ‘Palestin,’ ‘sebuah negara’ dan ‘negara-bangsa.’

Christine Lagarde, pengarah urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa mencadangkan keamanan adalah bahagian yang hilang dalam cadangan tersebut.

Palestin mempunyai potensi ekonomi besar yang hanya boleh dipenuhi dengan pembaharuan serius dan perlindungan untuk pelabur yang mesti termasuk usaha anti-rasuah. Namun mereka adalah tidak mencukupi, kata beliau, menekankan bahawa ‘keamanan memuaskan’ adalah penting kepada kemakmuran. “Ia adalah campuran bersama kesemua ramuan,” kata Lagarde.

Pelan itu mengakui kejayaannya bergantung pada pencapaian perjanjian perdamaian Israel-Palestin. Namun keperluan tersebut diperdebatkan oleh peserta pada persidangan dua hari di Bahrain. “Anda perlu mengatasi isu politik demi mendapatkan pelaburan,” kata Daniel Mintz, pengasas Olympus Capital Asia. – AFP

Orang awam membantah persidangan di Bahrain, yang menumpu pada bahagian ekonomi pelan damai Timur Tengah, di Tel Aviv, Israel pada 25 Jun. Pada persidangan minggu ini, pentadbiran Trump berharap dapat mengumpul dana daripada pemimpin perniagaan dan negara Teluk untuk membiayai pelan ekonominya. – AP