Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    ‘Keamanan, pembangunan mampan berterusan’

    Gambar oleh Infofoto

    WASHINGTON D.C., AMERIKA SYARIKAT, 15 MEI – Menjelang ulang tahun ke-50 hubungan ASEAN-Amerika Syarikat (AS), Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ingin melihat keamanan, kestabilan dan pembangunan mampan akan berterusan untuk kesemua penduduk di Indo-Pasifik.

    Bagi mencapainya, kerjasama di antara ASEAN dan AS ini akan memberikan faedah kepada penduduk, melalui pendekatan yang lebih strategik dan komprehensif.

    Kerjasama tersebut memerlukan peningkatan ketara secara mendalam dan skop pertukaran, latihan dan pembangunan kapasiti bagi semua penduduk, termasuk membina inisiatif seperti ASEAN Junior Fellowship Programme dan ASEAN-US Internship Programme, tekan Baginda semasa berkenan bertitah pada sesi pleno kedua, Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke majlis-majlis yang berlangsung di Jabatan Negara, Washington D.C., itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Sesi pleno kedua mengenai isu serantau dan global telah dipengerusikan oleh Presiden AS, Tuan Yang Terutama Joseph R. Biden Jr.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di AS. Turut berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat ke Majlis Santap Tengah hari yang dihoskan oleh PYT Kamala D. Harris. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan ketika berkenan berangkat menghadiri sesi pleno kedua, Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Sesi pleno kedua telah dipengerusikan oleh TYT Joseph R. Biden Jr.

    Sesi itu juga dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN; setiausaha negara AS, dan setiausaha agung ASEAN.

    Baginda seterusnya menyatakan keyakinan bahawa usaha-usaha berkenaan akan menyumbang kepada peningkatan kepercayaan dan persefahaman antara penduduk, terutamanya golongan belia yang mana merupakan asas kepada hubungan ASEAN-AS pada masa hadapan.

    Baginda juga mencadangkan agar bidang baharu yang mempunyai kepentingan bersama dikenal pasti untuk manfaat bersama, di mana satu bidang yang penting kepada gaya hidup penduduk ialah pengurusan, kesejahteraan dan keselamatan kawasan maritim.

    ASEAN telah memulakan kerja dalam Ekonomi Biru pada 2021 bagi mempromosikan penggunaan sumber maritim yang mampan. Dengan pelancaran Pelan Strategik Ekonomi Biru AS, Baginda bertitah bahawa perkembangan kerjasama dalam bidang ini adalah tepat pada masanya, di mana ASEAN dan AS boleh mendapat manfaat bersama daripada pengalaman masing-masing.

    Baginda bertitah bahawa kerjasama di kawasan maritim, termasuk Laut China Selatan, adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang-undang laut PBB 1982.

    Dengan satu pertiga daripada perkapalan antarabangsa melalui Laut China Selatan, memastikan keamanan dan keselamatan adalah amat penting di peringkat global.

    Oleh itu, pematuhan semua pihak kepada undang-undang antarabangsa, termasuk mendukung prinsip-prinsip piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah mustahak.

    Baginda bertitah Brunei akan terus memupuk persekitaran yang aman dan tenteram, dan menggalakkan semua negara, sama ada yang besar mahupun kecil, mengutamakan dialog dan kerjasama.

    Baginda juga mengalu-alukan pengumuman AS untuk mempertingkakan penglibatan dalam bidang pendidikan dan pertukaran antara penduduk ASEAN, serta cadangan AS untuk menubuhkan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik yang akan dapat mendorong pertumbuhan dan menjana peluang.

    Pada mengakhiri titah, Baginda mengalu-alukan pembaharuan komitmen AS kepada ASEAN dan menzahirkan keyakinan bahawa hubungan ASEAN-AS akan terus maju menuju ke arah masa depan yang aman, makmur dan penuh dengan peluang di bawah kepimpinan presiden AS.

    Sementara itu, sesi pleno juga dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada TYT Presiden AS, di mana beliau menzahirkan rasa puas hati bahawa hubungan ASEAN dan AS menuju ke era baharu, yang mana perbincangan telah meliputi pelbagai isu termasuk pandemik
    COVID, masa depan tenaga bersih, infrastruktur mampan, akses kepada pendidikan dan kerjasama maritim.

    Pada sesi itu, para pemimpin juga membincangkan mengenai hubungan ASEAN-AS pada masa hadapan dan isu-isu mengenai rantau Indo-Pasifik.

    Pada sidang itu, Kenyataan Visi Bersama Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS telah diluluskan.

    Majlis Santap Tengah hari

    Sebelum sesi pleno, Baginda mula-mula berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah hari yang dihoskan oleh Naib Presiden AS, PYT Kamala D. Harris dan seterusnya berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS.

    Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Chief of Protocol bagi AS, Ambassador Rufus Gifford.

    Baginda kemudian berangkat ke Benjamin Franklin Room bagi menghadiri Majlis Santap Tengah Hari tersebut.

    Semasa majlis santap, Baginda berkenan mengurniakan titah bahawa ASEAN telah menubuhkan ASEAN SHIELD bagi memastikan tindak balas yang bersepadu, pantas dan berkesan terhadap kecemasan dan bencana yang bersifat pelbagai dimensi pada masa hadapan, dan menggalakkan agensi-agensi AS seperti Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit AS dapat memberikan nilai tambah kepada usaha ASEAN untuk membina rantau yang lebih berdaya tahan.

    Baginda seterusnya bertitah mengenai Kenyataan Para Pemimpin Sidang Kemuncak Asia Timur mengenai Kerjasama Kesihatan Mental yang ditaja bersama oleh Negara Brunei Darussalam dan AS pada 2021 yang mana Baginda berharap ASEAN dan AS akan dapat bekerjasama dalam bidang kesihatan mental.

    Selain itu, kerjasama keselamatan maritim di rantau ini adalah penting untuk memastikan keselamatan laluan perhubungan laut.

    Baginda bertitah bahawa Brunei akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan serantau dalam meningkatkan keselamatan maritim melalui dialog dan kerjasama, yang mana pada tahun lepas, Expanded ASEAN Maritime Forum ke-9 telah dianjurkan yang menumpukan kepada undang-undang antarabangsa dan perlindungan persekitaran laut; serta Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus, di mana Infrastruktur Komunikasi Langsung ASEAN di antara pegawai-pegawai ketenteraan telah diperluaskan untuk merangkumi rakan kongsi luar seperti AS.

    Pada mengakhiri titah, Baginda bertitah agar ASEAN dan AS terus komited kepada penglibatan yang aman melalui dialog dan perundingan melalui berbagai mekanisme yang dipimpin oleh ASEAN untuk memastikan rantau ini aman, stabil dan makmur.

    Majlis santap tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada naib presiden AS yang menekankan bahawa AS terus komited terhadap pengukuhan hubungan dengan ASEAN dan negara-negara anggotanya, dan mengambil maklum mengenai kepentingan strategik rantau ini bagi kemakmuran dan keselamatan rakyat AS.

    Para pemimpin juga telah membincangkan perkara-perkara mengenai kerjasama maritim dan pemulihan pandemik dan kesihatan.

    Sesi pleno pertama mengenai iklim

    Sejurus itu, Baginda bersama para pemimpin yang lain beredar ke Loy Henderson International Conference Room untuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS.

    Sesi pleno pertama itu telah dipengerusikan oleh PYT Kamala D. Harris dan turut dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN, wakil khas presiden AS bagi iklim; setiausaha tenaga AS, setiausaha pengangkutan AS dan setiausaha agung ASEAN.

    Semasa sesi pleno pertama, Keba-wah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah dengan menzahirkan penghargaan kepada AS atas pembaharuan komitmennya kepada perubahan iklim, sepertimana yang terjadi semasa COP-26 di Scotland dan seterusnya mengucapkan tahniah kepada presiden AS di atas usaha-usaha peribadi beliau untuk bekerjasama dengan negara-negara kuasa besar yang lain bagi melaksanakan Perjanjian Paris.

    Baginda seterusnya bertitah bahawa ASEAN juga memberikan penekanan yang mendalam terhadap perubahan iklim seperti Pusat Perubahan Iklim ASEAN di mana Baginda juga merakamkan penghargaan kepada AS terhadap ketersediaannya bagi penghantaran seorang Science Fellow untuk mendukung penubuhan pusat tersebut di Negara Brunei Darussalam.

    Dalam menuju masa depan, Baginda bertitah bahawa banyak usaha perlu dilaksanakan menangani tindakan iklim seperti pembangunan kapasiti.

    Baginda juga bertitah bahawa Brunei sedang mengutamakan usaha-usaha dalam memastikan ekonomi negara terus berdaya tahan dan mampan melalui penggunaan teknologi karbon rendah, serta meningkatkan inisiatif dengan tujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon.

    Akhir sekali, Baginda mengalu-alukan penglibatan AS dalam inisiatif-inisiatif perubahan iklim di rantau ini.

    Terdahulu sebelum itu, sesi pleno dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada naib presiden AS, yang mengambil maklum akan kesan-kesan krisis iklim terhadap ASEAN dan AS dan oleh itu, mencadangkan kedua-dua pihak untuk bersepadu dalam mendukung aspirasi dan mencapai keperluan infrastruktur dengan mampan.

    Dalam pada itu, AS telah melancarkan inisiatif-inisiatif mengenai tenaga bersih dan infrastruktur iklim yang pintar; perkongsian mengenai pengangkutan mampan dan perlindungan hutan, serta perkongsian data satelit untuk bertindak balas terhadap cuaca luar biasa.

    Pada sesi itu, para pemimpin juga membincangkan mengenai tindakan iklim, transformasi tenaga bersih dan infrastruktur mampan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...