Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Keampunan tertangguh jika putus silaturahim

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Memutuskan silaturahim adalah antara sebab kenapa azab seseorang di dunia disegerakan sebelum tibanya hari akhirat.

    Sebab itu, agama Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga hubungan silaturahim kerana akibat memutuskan silaturahim itu amat besar risikonya bukan setakat di dunia saja tetapi juga di akhirat kelak, kata khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Menjaga Silaturahim’.

    Silaturahim adalah jalinan atau ikatan perhubungan yang dibina bersama-sama antara sesama keluarga, kaum kerabat, rakan, jiran tetangga dan seumpamanya.

    Hubungan sesama insan itu juga menjadi kayu pengukur kesempurnaan dan kemantapan iman seseorang bukan setakat beriman dengan rukun yang enam sahaja, katanya.

    Menurut beliau lagi, sila-turahim perlu dijaga dengan berbuat baik kepada sesama manusia, memberi pertolongan jika mereka memerlukan, bersikap lemah lembut, nasihat-menasihati dan menjaga perasaan mereka.

    Selain itu, hubungan tersebut perlu diutamakan dalam kaum kerabat atau yang ada hubungan kekeluargaan kerana mengeratkan silaturahim sesama saudara itu adalah hukumnya wajib manakala memutuskan silaturahim pula adalah haram.

    Terputusnya hubungan silaturahim, katanya, boleh berpunca daripada pertengkaran atau perselisihan yang disebabkan salah faham, harta benda, hutang piutang, hasutan, fitnah dan seumpamanya.

    Hatta perkelahian sesama anak atau jiran tetangga juga boleh menyebabkan terputusnya ikat silaturahim yang mana kedua-dua pihak saling salah menyalahkan antara satu dengan lain, jelasnya.

    Ini lebih-lebih lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai kesabaran dan tidak bersikap terbuka serta tidak mahu mengalah untuk memohon maaf sehingga ada yang sanggup melakukan perbuatan syirik untuk menyakiti orang yang dibencinya.

    Beliau seterusnya menegaskan, permusuhan dan pergeseran seperti ini boleh berlaku secara berpanjangan jika tidak ada kesedaran dalam diri kedua-dua belah pihak atau tidak ada orang lain yang mahu meleraikan atau mendamaikan kedua-dua pihak yang bermusuhan itu.

    Tanggungjawab membina semula silaturahim yang terputus bukan saja terletak pada kedua-dua pihak yang bermu-suhan, tambah khatib, tetapi sanak saudara atau kawan-kawan yang mengetahui mengenai perkara itu boleh memainkan peranan penting selaku orang tengah dalam mendamaikan dan menyambung semula silaturahim yang terputus.

    Sehubungan itu, khatib dalam khutbahnya mengingatkan untuk menangani masalah keluarga dengan perasaan yang rasional dan eratkan semula perhubungan yang sudah retak itu dengan rasa kesedaran dan keinsafan, apatah lagi dalam hadis Rasulullah SAW menyebutkan, orang yang tidak mahu berdamai itu akan ditangguhkan keampunannya oleh Allah.

    Adalah menjadi kewajiban kita untuk menjaga hubungan silaturahim dengan sebaik-baiknya dan janganlah disebabkan masalah kecil dan remah-temeh, hubungan silaturahim itu menjadi renggang atau retak.

    Dalam menjaga hubungan silaturahim ada beberapa cara yang boleh dilakukan antaranya seperti sering memberi dan menjawab salam atau bertegur sapa, menghadiri undangan atau jemputan, menghulurkan bantuan atau pertolongan sama ada dengan tangan atau wang ringgit, kunjung-mengunjungi antara satu dengan lain, menziarahi ketika orang sakit dan menghadiri pengebumian jenazah dan seumpamanya.

    Pada masa kini, penggunaan media baharu seperti media massa dan sosial adalah sangat digemari dan menjadi kemudahan untuk berhubung dan berkomunikasi.

    “Penggunaan kemudahan tersebut boleh dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya terutama dalam mengeratkan hubungan silaturahim dan dengan itu, hubungan yang jauh boleh menjadi dekat dan yang renggang menjadi rapat,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...