Kean cukup kuat buat Basaksehir

ISTANBUL, 29 OKT – Dua jaringan Moise Kean (gambar bawah) pada separuh masa kedua membolehkan Paris Saint-Germain menewaskan Istanbul Basaksehir 2-0 di Turki dalam aksi Liga Juara-Juara tetapi Neymar mengalami kecederaan.

Pemain termahal dunia itu terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama dan terus menuju terowong untuk mendapatkan rawatan.

Dia digantikan Pablo Sarabia tetapi tanpa bintang Brazil itu, pasukan pelawat tampak lebih garang pada separuh masa kedua dalam perlawanan tanpa sebarang insiden di sebalik ketegangan hubungan diplomatik Turki dengan Perancis.

“Neymar cedera di otot pahanya tetapi saya harap ia tidak serius. Dia berasa agak sakit dan sukar bergerak. Itu sebabnya dia dikeluarkan,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel.

Keputusan itu pasti melegakan PSG, finalis musim lalu selepas tewas 1-2 di tempat sendiri kepada Manchester United dalam aksi pembukaan Kumpulan H.

“Ramai pemain cedera dan ini mungkin masanya untuk kami berjuang, berusaha memenangi perlawanan walaupun ia bukan kemenangan menarik buat PSG,” kata Tuchel.

“Mungkin kami boleh melakukan dengan lebih baik tetapi ia sukar pada masa sekarang.” – AFP