Keaslian masakan Thai jadi tarikan pelanggan

Oleh AK Zaki Kasharan

Masakan Thailand sememangnya terkenal dengan rasa masam, manis dan pedas. Oleh sebab variasi rasanya itu, ia berjaya menambat hati ramai pencinta makanan di seluruh pelosok dunia termasuklah di negara ini.

Ketika ini, restoran tempatan yang menawarkan masakan Thai di negara ini kian semakin bertambah banyak bak cendawan tumbuh selepas hujan turun.

Dengan bertambahnya bilangan restoran Thai di negara ini membuktikan bahawa masakan Thai sangat digemari dan mendapat sambutan yang luar biasa khususnya bagi mereka yang pernah pergi melancong ke negara gajah putih tersebut.

Masyarakat Thailand yang terkenal dengan sikap peramahnya sehinggakan ia dijuluki dengan panggilan Tanah Tersenyum atau Land of Smile tersebut juga dikenali dengan hidangan makanannya seperti Tom Yam, Som Tam, dan sebagainya selain daripada keunikan budaya yang diamalkan oleh masyarakat di negara tersebut sejak berkurun lamanya sehinggalah ke hari ini.

Pada 28 Ogos lalu, Kedutaan Besar Diraja Thailand telah menganjurkan Thailand Bazaar yang berlangsung selama tiga hari dalam usaha mempromosikan ekonomi dan kerjasama dalam industri pelancongan turut mendapat sambutan yang cukup hangat dan memberangsangkan di kalangan penduduk dan rakyat negara ini.

Nasi Goreng Tom Yam Seafood turut dilengkapi dengan hidangan sampingan seperti telur mata lembu, udang dan sayur-sayuran segar.
Tom Yam yang terkenal dan menjadi kegemaran ramai.
Hidangan sotong bakar yang menambat hati setiap pelanggan.

Salah sebuah restoran Thailand yang boleh didapati di negara ini ialah Thai Food BN atau yang juga dikenali dengan Dawhenux Restaurant yang terletak di Jalan Tutong telah menarik perhatian wartawan Media Permata disebabkan keaslian rasa masakan Thai yang disajikan di restoran tersebut seolah-olah para pelanggan menikmati hidangan itu seperti berada di Thailand.

Antara hidangan pilihan sudah semestinya sup Tom Yam dan beberapa makanan sampingan lain seperti Som Tam, ikan talapia panggang bersalut garam, sotong bakar, Nasi Goreng Tom Yam, Green Curry dan banyak lagi.

Dengan harga yang berpatutan dan boleh dikatakan murah berbanding di tempat lain maka tidak hairanlah tempat tersebut menjadi lubuk utama bagi para penggemar makanan Thai terutama sekali di waktu makan tengah hari dan makan malam.

Dekorasi yang bersahaja dengan suasana yang santai ditambah lagi dengan variasi sajian makanan Thai yang ditawarkan sudah semestinya sedikit sebanyak mampu mengubat rindu para pengunjung restoran tersebut yang terhalang daripada mengunjungi negara Thailand ketika dunia masih bergelut memerangi pandemik COVID-19.

Cha Bang Ang

Bahan-bahan:
1 tin cincau
Gula karamel (masak 1 cawan gula perang dengan 1 cawan air)
3 sudu makan selasih (rendam dengan air panas)
2 cawan susu penuh krim
1 cawan susu cair
3 sudu makan susu pekat manis
1 sudu teh esen vanilla
Secubit garam
Ais secukupnya

Cara memasak:
Satukan susu penuh krim, susu cair, susu pekat manis, esen vanilla dan garam dalam satu bekas dan gaul hingga sebati.

Potong cincau mengikut bentuk yang anda suka atau memotong secara dadu. Kemudian simpan dalam bekas yang lain. Masukkan gula karamel, biji selasih dan campuran susu tadi ke dalam bekas atau jag berisi cincau. Kacau rata dan tambahkan ais dengan secukupnya.

Kari Hijau Ayam Thai

Bahan bahan :
1 ekor ayam dipotong kecil
1 kotak besar santan pekat
1 sudu besar gula merah
1 sudu besar jus limau kasturi
7 helai daun limau purut
2 biji tomato
1 batang serai di titik
Garam dan gula

Bahan kisar:
1 batang serai
10 biji cili padi hijau
3 biji lada hijau
1 sudu kecil belacan
1 inci lengkuas
2 cm halia
1/2 sudu kecil serbuk ketumbar
1/2 sudu kecil serbuk jintan manis
1/2 sudu kecil serbuk lada putih
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 pokok daun ketumbar
2 helai daun limau purut
2 sm kunyit hidup

Cara cara menyediakannya:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga wangi. Masukkan santan cair dan kacau seketika.

Masukkan ayam, serai dan kemudian masukkan santan pekat. Apabila kuah sudah menggelegak, masukkan garam, gula, tomato, daun limau purut, jus limau dan gula merah. Masak selama 10 minit lagi dan kemudian bolehlah diangkat. Selamat mencuba!