Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Keazaman, ketekunan pemangkin kejayaan graduan

    Oleh Syahmi Hassan

    Berbekalkan keazaman dan semangat ketekunan yang tinggi dalam menempuh kehidupan sebagai pelajar, akhirnya berjaya mencapai ke puncak menara gading.

    Meskipun telah menamatkan pengajian, namun semangat untuk meneruskan lagi pengajian ke peringkat seterusnya masih membara agar cita-cita yang diimpikan akan tercapai suatu hari nanti.

    Begitulah perasaan para graduan Kolej Cosmopolitan semasa ditemubual Media Permata berikutan Majlis Konvokesyen Kolej Cosmopolitan kali ke-15, yang diadakan di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei.

    Salah seorang graduan, Awang Mohamad Raiyan bin Mohd Yussof, yang merupakan penerima Anugerah Istimewa ECA – Kelab Silat, semasa ditemui mengongsikan beliau sangat gembira pada hari ini kerana dapat menamatkan dan mendapat sijil Diploma dalam bidang IT.

    “Alhamdulillah, setelah satu tahun enam bulan, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian ini,” katanya.

    Awang Mohamad Raiyan merupakan penerima Anugerah Istimewa ECA – Kelab Silat dan salah seorang graduan program Diploma dalam bidang IT.
    Awang Mohamad Nasirol Hasmal yang merupakan penerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi BTEC Pearson Level 1 Introductory Diploma in Digital Media, turut mengongsikan rasa syukurnya ke hadrat Allah SWT.
    Antara graduan Kolej Cosmopolitan (COSMO) mempamerkan sijil tamat pengajian mereka semasa diraikan pada Majlis Konvokesyen Kolej Cosmopolitan kali ke-15, yang diadakan di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei.
    Para graduan perempuan gembira dan bangga bergambar bersama sijil mereka pada majlis berkenaan.

    Ketika ditanya mengenai apa yang yang sangat berharga bagi beliau di sepanjang pengajiannya, Awang Mohamad Raiyan menjelaskan beliau dapat memahami lebih mendalam tentang IT.

    “Ilmu yang saya pelajari amat bermanfaat bagi saya untuk pekerjaan pada masa akan datang. Mengetahui asas-asas IT seperti asas keselamatan siber dan tahu cara mengatasi jika berlakunya penggodaman dan sebagainya,” tambahnya.

    Berikutan dengan majlis konvokesyen tersebut, Awang Mohamad Raiyan berancang untuk menyambung pengajian beliau untuk mengambil program Diploma Tertinggi Kebangsaan (HND) pada tahun ini.

    “Tujuan saya untuk meneruskannya adalah untuk mencapai cita-cita saya menjadi pegawai kadet dan belajar lebih mendalam mengenai bidang IT ini,” jelasnya.

    Beliau turut mengambil kesempatan menasihatkan golongan muda untuk jangan mudah berputus asa kerana rezeki dan juga peluang sentiasa ada untuk meneruskan pembelajaran.

    “Masih belum terlambat untuk meneruskan pembelajaran. Saya telah membuktikan yang kegagalan boleh menjadi satu kejayaan, segala cubaan dan rintangan yang saya alami membuatkan saya lebih kuat dan ingin berusaha lebih gigih,” kongsi Awang Mohamad Raiyan.

    Seorang lagi graduan, Awang Mohamad Nasirol Hasmal bin Jumat yang merupakan penerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi BTEC Pearson Level 1 Introductory Diploma in Digital Media, turut mengongsikan rasa syukurnya ke hadrat Allah SWT.

    “Alhamdulillah, pertama sekali, saya ingin mengucapkan syukur kepada Allah SWT. Saya berasa gembira setelah menamatkan kursus dan bangga dengan diri saya sendiri,” kata Awang Mohamad Nasirol Hasmal.

    Awang Mohamad Nasirol Hasmal mengongsikan pengalaman beliau sepanjang pembelajaran adalah untuk mengetahui lebih mendalam lagi dalam bidang media digital.

    “Bagi saya ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Justeru saya sahut cabaran demi kemudahan saya di masa yang akan datang,” jelasnya.

    Seperti Awang Mohamad Raiyan, Awang Mohamad Nasirol Hasmal juga mempunyai rancangan yang sama iaitu untuk meneruskan pembelajaran beliau ke peringkat seterusnya.

    “Perancangan saya selepas ini adalah ingin melanjutkan lagi pembelajaran saya di Kolej Cosmpolitan dan mengambil kursus dalam bidang media kreatif.

    Saya percaya inilah masanya untuk mengasah kemahiran pembelajaran sepanjang hayat supaya bersedia untuk alam perkerjaan,” jelasnya.

    Di hujung temubual, pelajar terbaik bagi BTEC Pearson Level 1 Introductory Diploma in Digital Media itu menasihatkan kepada golongan anak muda di luar sana untuk tetap bersemangat dalam setiap perjuangan mereka.

    “Jangan pernah lelah untuk mempelajari sesuatu yang baharu. Jangan putus asa, fokus apa yang kamu lakukan pada masa kini dan berserah kepada Allah SWT, Insya-Allah awda akan pergi jauh dalam kehidupan awda.

    “Selalu belajar daripada setiap kesalahan dan juga pengalaman untuk meraih setiap impian yang kamu inginkan.

    “Kejayaan mungkin berbetulan dengan nasib, tetapi kita tidak seharusnya hanya bergantung padanya.

    “Maka tanamkan kepercayaan dalam diri dan kejayaan akan dikecapi akhirnya,” katanya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...