Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Keazaman tinggi pembakar semangat gapai impian

    Oleh Mu’min Karim
    Gambar oleh Nurdiyanah R.

    Dalam diri setiap pelajar pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

    Kecemerlangan itu hanya dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk meraihnya dengan sentiasa menyemai iltizam dan keazaman yang tinggi dalam jiwa raga mereka, bak kata peribahasa Melayu, ‘Genggam bara api biar sampai jadi arang’.

    Salah satu resipi untuk mencapai kejayaan itu adalah dengan belajar bersungguh-sungguh dan tidak lalai melaksanakannya.

    Begitulah antara tekad salah seorang pelajar Sekolah Menengah Katok (SMK) yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang bagi Peperiksaan Brunei Cambridge GCE O Level bagi Tahun 2021, Awang Mohammad Syahir Deedat Al-Jufri bin Haji Mohammad Jufrri semasa berkesempatan ditemui penulis semasa Majlis Penganugerahan Graduan SMK B.E.S.T di dewan sekolah tersebut.

    Pesanan ayah tetap ‘segar’ di ingatan

    Awang Mohammad Syahir yang kini menuntut di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), telah berjaya memperoleh 9 O Level turut mengongsikan antara amalan yang sering dilakukan sebelum menduduki peperiksaan khususnya agar lebih memahami pengisian dalam pembelajaran itu adalah dengan menggunakan teknik peta minda dan nota ringkas.

    Awang Mohammad Syahir mengongsikan salah satu amalan yang sering dilakukan sebelum menduduki kertas peperiksaan adalah dengan menggunakan teknik peta minda dan nota ringkas.
    Penganugerahan yang diperoleh Dayang Alya Inarah bagaikan pembakar diri untuk lebih berjuang menggapai kecemerlangan dalam peringkat pendidikan seterusnya.
    Dayang Mirza Farhanah turut memanjat rasa kesyukuran di mana kejayaan yang dicapai itu sememangnya berkat dorongan yang teguh daripada kedua ibu bapa dan guru-guru selama ini yang banyak mendidik diri ini agar tidak mudah berputus asa.

    Selain itu, beliau bersama rakan-rakan dengan bimbingan para guru juga sering mengulang kaji koleksi soalan-soalan kertas peperiksaan tahun-tahun terdahulu. Hal berkenaan secara tidak langsung banyak melatih mereka menjawab dengan efektif dan efisien dalam menerokai soalan-soalan lazim dan juga kompleks.

    “Kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT atas rezeki penerimaan anugerah yang diperoleh ini. Lebih-lebih lagi, hasrat menggapai anugerah ini juga merupakan impian Allahyarham ayah saya yang ingin melihat saya berjaya sehingga ke menara gading.

    “Beliau meninggal dunia ketika saya masih di Tahun 10 dan saya bertekad untuk mencapai kecemerlangan untuknya. Segala pesanan yang disampaikan pada diri ini sentiasa segar dalam ingatan ini,” ujarnya dengan nada ketulusan.

    Impian demi membantu masyarakat

    Sementara itu, salah seorang pelajar yang meraih anugerah cemerlang pada majlis berkenaan, Dayang Mirza Farhanah binti Mohamad Isham turut meluahkan ungkapan penuh kesyukuran di mana kejayaan yang dicapai itu sememangnya berkat dorongan yang teguh daripada kedua ibu bapa dan guru-guru selama ini yang banyak mendidik diri ini agar tidak mudah berputus asa.

    Beliau yang menerima anugerah kecemerlangan di atas pencapaian keputusan 9 O Level pada majlis berkenaan menambah bahawa adapun dalam meniti proses pembelajaran harian, beliau sentiasa mengulang kaji setiap topik itu dengan membuat nota-nota ringkasan. Amalan berkenaan, jelasnya mampu meningkatkan lagi daya pemahaman dan hafalan dirinya.

    “Saya mahu menjadi insan yang berguna kepada masyarakat, mengimbas kembali sewaktu masih kecil dahulu, saya mempunyai impian untuk memberikan sumbangan ke tempat-tempat yang memerlukan bantuan.

    “Adalah menjadi impian diri ini suatu hari nanti mampu menyalurkan sumbangan bantuan masyarakat yang amat memerlukan misalnya membina rumah tempat mereka berteduh atau pun membantu menyediakan bekalan elektrik dan air ke pusat-pusat yang serba kekurangan,” kongsinya penuh harapan yang kini sedang meneruskan pendidikannya di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES).

    Bagaikan pembakar diri terus berjuang

    Penganugerahan yang diperoleh bagaikan pembakar diri untuk lebih berjuang menggapai kecemerlangan dalam peringkat pendidikan seterusnya, begitulah harapan yang disampaikan oleh Dayang Alya Inarah binti Izard Mahzuan yang memperoleh keputusan 8 O Level yang sekali gus membawanya kepada penganugerahan salah seorang pelajar terbaik SMK pada majlis tersebut.

    “Alhamdulillah, saya berasa lega kerana berjaya melepasi satu lagi peringkat peperiksaan dalam meniti dunia pendidikan dalam hidup ini. Pastinya saya mempunyai cita-cita yang pelbagai cabang meski pun tidak tetap namun saya akan sentiasa berjuang meraihnya.

    “Bercita-cita menjadi seorang guru, atau doktor psikologi, atau pun bidang kerjaya dalam Travel and Tourism, itulah impian pada masa depan,” tambahnya yang kini melanjutkan pengajian di Maktab Duli semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

    Natijahnya, terdapat beberapa amalan dan dorongan yang dikongsikan oleh pelajar-pelajar cemerlang untuk mencapai kecemerlangan dalam apa-apa jua lapangan yang diceburi terutamanya dalam pembelajaran.

    Kecemerlangan seseorang pelajar dapat menjamin masa depan yang lebih cerah dan memiliki kualiti diri yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin dan sahsiah. Bak kata Hatta Soekarno, “Berikan aku 10 orang belia waja nescaya akan aku gegarkan dunia, kerana pemuda adalah harapan bangsa, pemudi tiang negara.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...