Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebaikan dan keburukan kerja jarak jauh

    SHAH ALAM – Arahan bekerja dari rumah yang dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 bermula 18 Mac sehingga 31 Mac dilihat mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri.

    Tinjauan media mendapati, ada dalam kalangan pekerja pernah diarahkan bekerja dari rumah oleh majikan sebelum ini namun terdapat pekerja yang pertama kali melalui pengalaman sedemikian.

    Seorang pekerja syarikat perkhidmatan perkapalan di Klang, Nurnasha Edrinanieza Mohammed, 24, berkata bekerja dari rumah bukan perkara baharu baginya namun tempoh masa dua minggu yang diarahkan kerajaan mungkin ‘mengganggu’ sedikit proses kerjanya.

    “Majikan memang menyokong penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan itu dan membenarkan saya membawa pulang komputer riba bagi melicinkan proses kerja. Namun, apa yang sukar adalah apabila mesyuarat terpaksa dilakukan secara dalam talian.

    “Pada saya, ini dilihat kurang efektif kerana ada beberapa perkara yang kita perlu berbincang secara bersemuka. Namun, demi mengekang penularan wabak, kita kena akur,” katanya kepada media.

    Semenjak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, jalan-jalan di Kuala Lumpur lengang berbanding hari biasa kerana semua premis kerajaan dan swasta ditutup kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services). – Bernama
    Dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa pada 18 Mac sehingga 31 Mac di seluruh Malaysia, pekerja-pekerja sektor awam dan swasta diarahkan bekerja dari rumah bagi mengekang penularan COVID-19. – Bernama

    Pereka grafik swasta di Shah Alam, Muhammad Wahyu Mohd Aini, 25, berkata walaupun teruja kali pertama bekerja dari rumah namun khuatir tumpuannya pada kerja boleh terganggu.

    “Pada pendapat saya, bekerja dari rumah ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya. Kelebihannya sudah pasti saya tidak perlu tergesa-gesa bersiap untuk ke tempat kerja.

    “Namun kelemahannya adalah disiplin kerja tidak sama seperti di pejabat kerana apabila di rumah, banyak benda boleh mengganggu. Jadi, terpulang kepada diri sendiri untuk menjalankan amanah syarikat,” katanya.

    Lain pula pendapat seorang pekerja syarikat perisian komputer di Bukit Tinggi, Klang, Farhan Rahim, 24, yang melihat selain arahan bekerja dari rumah dapat mengekang penularan COVID-19, ia juga boleh menjimatkan perbelanjaan serta kos pengangkutan.

    Sungguhpun begitu, katanya, tugasan kerja harian mesti disempurnakan sebaiknya kerana syarikat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada setiap pekerjanya.

    “Segala tugasan telah diberikan oleh syarikat sehingga tempoh perintah kawalan itu tamat dan mereka akan mengemas kini perjalanan kerja seluruh kakitangan.

    “Jika ada mesyuarat yang dijadualkan, ia akan dibuat secara atas talian namun pada pendapat saya, ada sesetengah perkara lebih mudah diterangkan secara berhadapan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda