Thursday, August 11, 2022
30.7 C
Brunei

Kebaikan tubuh pusat asuhan di tempat kerja

-

KUALA LUMPUR – Beralas sebuah bangku kecil, Nur Najihah Ahmad Zamri yang duduk di satu sudut pusat asuhan itu, tersenyum dan melambai ke arah anak perempuannya yang kelihatan masih mamai kerana baru bangun tidur.

Ini kali pertama kakitangan Jabatan Kutipan dan Pemulihan MBSB Bank itu menjengah pusat asuhan harian yang terletak di dalam bangunan pejabatnya.

Ibu bapa biasanya tidak dibenarkan menjenguk anak mereka selepas dihantar ke pusat itu pada sebelah pagi, iaitu antara dasar pencegahan COVID-19 pusat jagaan tersebut.

Sebelum ini, wanita berusia 30 tahun yang juga ibu kepada dua anak perempuan itu berbelah bagi untuk menghantar anak sulungnya ke pusat asuhan berkenaan yang mula beroperasi pada 1 April 2022. Dia bimbang si kecil yang berusia tiga tahun itu tidak suka duduk di taska. Namun, pemandangan yang menyambut mata Nur Najihah melegakan hatinya.

“(Saya) gembira, sebab saya tengok dia memang gembira di sini. Nampak (ada) perubahan yang positif padanya berbanding semasa hantar ke rumah pengasuh,” kongsi wanita itu kepada Bernama, menambah dia bercadang untuk turut menghantar anak damitnya yang berusia sembilan bulan ke situ.

Fasiliti yang terdapat di Pusat Asuhan Harian MBSB Bank. Pusat asuhan itu diwujudkan di tingkat bawah tanah Menara MBSB Bank di Petaling Jaya dan mula beroperasi pada 1 April. Bantuan dalam penjagaan anak mempengaruhi keupayaan wanita untuk kekal bekerja atau kembali semula ke pasaran buruh serta pencapaian mereka dalam kerjaya. – Bernama

Cerita wanita itu lagi, selepas melahirkan anak keduanya, dia mengalami masalah ‘tidak boleh berenggang’ dengan anak, menyebabkan ada masa dia terasa mahu berhenti kerja dan duduk di rumah menjaga anak sepenuh masa, daripada menghantar mereka ke rumah pengasuh.

Bagaimanapun katanya dengan menghantar anak ke pusat asuhan harian itu, stresnya reda kerana dia masih berada dekat dengan anak – hanya beberapa aras lantai memisahkan mereka. Selain itu, dia juga dapat meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak semasa perjalanan ulang-alik ke tempat kerja.

Namun manfaat terbesar ialah dia dapat meningkatkan tumpuan di tempat kerja, sesuatu yang menggembirakan Ketua Pegawai Sumber Manusia MBSB Bank, Farid Basir.

“Bagi saya, (penyediaan pusat asuhan untuk anak staf) adalah sesuatu yang harus kita lakukan kerana saya benar-benar percaya jika kita jaga pekerja, maka pekerja akan jaga perniagaan, bukan sebaliknya,” ujar Farid. Najihah adalah antara ibu berkerjaya yang bertuah. Ramai wanita di Malaysia tidak dapat kekal dalam pasaran tenaga kerja ataupun kembali bekerja kerana tidak ada siapa yang boleh menjaga anak atau ibu bapa mereka yang sudah lanjut usia.

Analisis yang dijalankan oleh Asia Foundation dengan kerjasama Merdeka Centre merangkumi tiga tinjauan sepanjang 2020 hingga 2021, mendapati bantuan penjagaan anak antara faktor utama dalam membantu wanita meneruskan kerjaya mereka.

Inisiatif penjagaan anak
Sekalipun lelaki dan wanita bermula dengan langkah yang sama semasa memasuki pasaran buruh, trajektori kerjaya masing-masing mula mencapah apabila ada anak. Perkembangan kerjaya lelaki amat jarang terkesan oleh kehadiran anak, namun lain pula kisahnya bagi wanita.

Bantuan dalam penjagaan anak mempengaruhi keupayaan wanita untuk kekal bekerja atau kembali semula ke pasaran buruh serta pencapaian mereka dalam kerjaya. Bagaimanapun ketiadaan sokongan penjagaan anak menyebabkan ramai yang berhenti kerja. Ibarat mencurah minyak ke dalam api, penularan COVID memburukkan lagi trend itu, dan apabila ekonomi dibuka semula, sekalipun kaum hawa kembali bekerja, jumlahnya tidak memberangsangkan dan meningkat dengan kadar perlahan.

“Antara penemuan utama dalam penyelidikan (oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) ialah wanita yang tiada pilihan penjagaan anak mempunyai kebarangkalian tidak kembali bekerja 95 peratus berbanding yang ada sokongan,” kata Prof Madya Dr Shanti Thambiah daripada Program Pengajian Gender Universiti Malaya yang juga perunding prinsipal kajian yang dikeluarkan pada 2014 itu.

Statistik membuktikan hal itu. Selama bertahun-tahun Malaysia antara negara yang merekodkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita (FLPR) terendah dalam perkumpulan ASEAN, satu masalah yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), setakat April 2022, FLPR Malaysia ialah 55.5 peratus, meningkat hanya 0.3 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya. Sementara itu, lelaki dalam kelompok usia bekerja pula merekodkan 82.3 peratus, sama ada sudah bekerja atau sedang mencari pekerjaan, iaitu peningkatan 1.3 peratus.

Sejak sekian lama Malaysia berusaha meningkatkan FLPR dengan menggalakkan penubuhan pusat asuhan di tempat kerja. Namun perkara itu tidak pernah diwajibkan hinggalah pada 2018 apabila kerajaan mensyaratkan semua bangunan kerajaan mewujudkan taska.

Pada Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan inisiatif itu dan menyatakan kerajaan memperuntukkan masing-masing RM10 juta dan RM30 juta pada 2019 dan 2020 untuk tujuan tersebut. Beliau berkata sektor swasta juga akan diwajibkan berbuat demikian tidak lama lagi.

Setakat 2018, terdapat 205 pusat jagaan harian di bangunan kerajaan dan 52 di sektor swasta.

Menurut laporan media, sebanyak 1,028 pusat jagaan tidak berdaftar dan 1,910 pusat jagaan berdaftar beroperasi di negara ini bagi tempoh Februari dan Mac tahun ini. Selain itu, ada juga pusat asuhan di rumah dan pusat jagaan komuniti.

Farid yang juga Naib Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia, memberitahu Bernama setiap bangunan pejabat harus ada pusat asuhan di tempat kerja yang menurutnya boleh menjimatkan masa perjalanan ke tempat kerja selain mengurangkan tekanan.

“Kita andaikan begini… jika anda tidak tahu keadaan anak semasa anda sedang bekerja, bolehkah anda menyumbang atau menumpukan sepenuh perhatian pada kerja yang dilakukan? Anda akan asyik teringatkan anak, betul tak? Sebab itulah saya fikir kemudahan penjagaan anak di pejabat boleh membantu. (Pekerja) boleh pergi jenguk anak-anak mereka,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengaku syarikat besar mempunyai kelebihan dalam menyediakan pusat asuhan di tempat kerja kerana mencari tempat yang sesuai serta proses ubah suai perlukan kos yang besar, namun katanya perbelanjaan itu berbaloi.

Cabaran
Buat masa ini, penubuhan pusat asuhan di tempat kerja dalam sektor swasta amnya didominasi oleh syarikat besar dan multinasional dengan kebanyakannya memiliki bangunan yang dihuni. Contohnya, pusat asuhan MBSB Bank diwujudkan di tingkat bawah tanah Menara MBSB Bank di Petaling Jaya.

Justeru, bagi kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pusat asuhan di tempat kerja adalah sesuatu yang tidak boleh dilaksanakan.

“PKS tidak ada peruntukan untuk menubuhkan pusat asuhan. Idea itu bagus tetapi rata-rata PKS adalah syarikat yang sangat kecil dan tidak mempunyai ruang untuk menempatkan pusat asuhan,” kata Ding Hong Sing, Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya mengenakan syarat tersebut hanya kepada bangunan dan kawasan yang baru dibangunkan, selain membayar kos pembinaan dan pengambilan pekerja. Beliau berpendapat pemberian insentif cukai juga tidak akan dapat mendorong ahli persatuannya memberikan subsidi penjagaan anak di tempat lain kepada pekerja mereka.

Kongsinya dengan Bernama, hampir 30 peratus daripada 125 pekerja di syarikat makanan sejuk beku miliknya adalah wanita dengan kebanyakannya bekerja di bahagian pentadbiran serta pemasaran.

Mengambil kira majoriti perniagaan di Malaysia adalah PKS, penglibatan mereka dalam menyediakan pusat asuhan, baik dalam bentuk penubuhan pusat atau pemberian elaun jagaan anak bagi pekerja mereka, akan membantu meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita.

Langkah ini juga akan melegakan ramai wanita yang kini bekerja di PKS seperti ‘Qaila’ yang tidak memberikan nama sebenar kerana bimbang dikenakan tindakan balas oleh majikannya.

Wanita berusia 22 tahun yang mempunyai dua orang anak itu sedang menimbang untuk berhenti kerja demi menjaga anak agar tidak terus bergantung pada pengasuh yang didakwa Qaila pernah menggoncang anak damitnya yang berusia lima bulan kerana ‘kuat menangis’.

Namun, berhenti kerja bermakna hilang satu sumber pendapatan. Tanpa gajinya yang bekerja di bahagian sumber manusia, empat sekeluarga itu terpaksa hidup bersandarkan pendapatan isi rumah tidak sampai RM3,000 sebulan dan di Lembah Klang pula.

“Rasa macam bersalah nak tinggal dia, rasa sedihlah. Kita kan sebagai ibu, kalau boleh, nak bawa anak pergi mana-mana, nak ada dengan kita sebab pengasuh sekarang pun dia tak macam nak jaga betul-betul,” kongsinya.

Pakar ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma memberitahu Bernama bahawa situasi yang dihadapi oleh Qaila bukanlah sesuatu yang luar biasa, dan katanya perusahaan kecil perlu didorong untuk menyertai usaha itu, sama ada dengan pemberian insentif seperti subsidi atau pengenaan cukai bagi yang gagal mematuhi.

“Bagi perniagaan kecil, keutamaan mereka adalah memperoleh keuntungan. Justeru, mengapa mereka perlu pikul beban besar hanya untuk memenuhi agenda wanita sedangkan ada pekerja lelaki (yang boleh mengisi jawatan)?” hujah beliau.

Tambah beliau, usaha mengekalkan wanita dalam pasaran buruh memerlukan anjakan minda, bukan sekadar mengusahakan mereka bekerja.

Mujurnya pandemik telah menjadikan bekerja dari rumah serta ekonomi gig satu kebiasaan yang boleh membantu wanita menjana pendapatan tanpa perlu meninggalkan anak-anak mereka, ujar beliau yang turut menggesa kerajaan membuat kajian tentang ekonomi gig serta bagaimana sektor itu dapat memanfaatkan wanita.

Perunding Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Suriani Kempe bersetuju bahawa isu itu memerlukan pemikiran baharu, namun katanya, sekadar menolong wanita menjalankan perniagaan dalam talian dari rumah atau bekerja dari rumah tidaklah begitu membantu menyelesaikan masalah.

Sebaliknya kata beliau, strategi itu harus turut menggalakkan kesetaraan melalui penggubalan dasar atau program, selain akses kepada sistem penjagaan anak yang mampu milik.

Kajian mendapati apabila golongan bapa mengambil cuti paterniti – cuti yang lebih panjang berbanding tujuh hari cuti bergaji di Malaysia pada masa ini – kaum ibu menjadi lebih gembira dan sihat sementara bapa pula semakin rapat dengan anak-anak. Program dan dasar yang menumpukan pada kesetaraan seperti program bimbingan untuk wanita juga didapati boleh membantu.

“Masalah saya dengan program (terdahulu) ialah program terbabit tidak menangani isu asas ketidaksetaraan gender dalam kerja penjagaan. Ini seolah-olah memberikan peralatan tambahan kepada wanita (untuk bekerja di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa).

“Akan tetapi, apa yang tidak dilakukan oleh program tersebut ialah mengubah fundamental atau memberitahu para suami – ‘wahai suami sekalian, boleh tak kalian tolong dan bereskan sebahagian daripada kerja-kerja penjagaan ini,” tegasnya. – Bernama

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Virus Langya jangkiti 35 individu di China

BEIJING, 10 OGOS – Saintis-saintis telah mengesan virus baharu yang dikatakan berasal dari haiwan di timur China yang telah menjangkiti puluhan orang, lapor BBC...
- Advertisment -