Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Kebajikan anak-anak yatim dan golongan asnaf fakir miskin terus mendapat perhatian terutamanya dalam bulan Ramadan yang suci ini dengan pelbagai pihak menghulurkan sumbangan bagi meraih keberkatan.
Perkumpulan Halaqah Pencinta Al-Quran adalah antara yang menghulurkan sumbangan sempena bulan Ramadan Al-Mubarak dan Sambutan Nuzul Al-Quran, hari ini.
Seramai 46 orang golongan asnaf fakir miskin dan 80 orang anak yatim telah menerima sumbangan barangan makanan asasi di seluruh negara.
Salah satu tumpuan yang dikunjungi kumpulan berkenaan ialah Kampung Jerudong di mana lebih 20 orang menerima sumbangan yang disampaikan oleh Ketua Ahli Perkumpulan Halaqah Pencinta Al-Quran, Hajah Sarah binti Omar.
Hajah Sarah berkata, penyerahan sumbangan berkenaan merupakan antara aktiviti dalam bulan Ramadan bagi perkumpulan berkenaan.


Menurut beliau, kebiasaannya ahli-ahli perkumpulan mengadakan aktiviti khatam Al-Quran tiga bulan sekali dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
“Hari ini adalah Hari Nuzul Al-Quran dan setiap hari berkenaan dalam bulan Ramadan, kami akan membuat penyampaian untuk anak-anak yatim dan asnaf,” ujarnya.
Biasanya acara berkenaan diadakan di masjid, tetapi disebabkan krisis penularan COVID-19, majlis telah dipersetujui diadakan di rumah pemangku ketua Kampung Jerudong B untuk memberi ruang menyampaikan sumbangan-sumbangan berkenaan.
Sumbangan adalah hasil kutipan daripada ahli perkumpulan berkenaan untuk membantu mereka yang memerlukan agar bebanan seharian mereka dapat diringankan sedikit dalam bulan Ramadan lagi mulia ini.
Sementara itu, seramai 44 orang terdiri daripada anak-anak yatim dan fakir miskin dari Kampung Jerudong A dan B telah menerima sumbangan melalui konsep pandu lalu yang dikendalikan oleh Persatuan Warisan Kedayan Jerudong (WARISAN) di Dewan Kemasyarakatan Sengkurong, hari ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi WARISAN, Awang Abdul Hamid bin Abas bersama ahli komiti tertinggi lain.
Menurut mereka, majlis penyerahan sumbangan berkenaan diadakan setiap tahun dalam bulan Ramadan dengan tujuan untuk meringankan lagi bebanan mereka yang memerlukan dan sedikit sebanyak dapat membantu untuk persiapan menjelang Aidilfitri.




























