Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Bagi sama-sama meringankan beban keperluan anak-anak yatim di bulan suci Ramadan Al-Mubarak ini dan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu telah menyerahkan sumbangan derma kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA).
Hadir untuk menerima sumbangan tersebut pada majlis yang berlangsung hari ini ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dan pemangku ketua pegawai eksekutif DANA.
Majlis yang berlangsung di Rumah Semaun, Jalan Jerambak, di ibu negara tersebut menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu berjumlah $7,400 yang disampaikan oleh wakil kumpulan, Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee, isteri Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Turut hadir ialah Pengiran Datin Hajah Norzanah binti Pengiran Haji Rosli, isteri Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal) dan Hajah Husnah binti Haji Damit, isteri setiausaha tetap Kementerian Pembangunan.
Pada sebelah petangnya, kumpulan ini juga turut menyumbangkan 70 bungkusan makanan juadah berbuka yang disediakan oleh Society for Community Outreach and Training (SCOT), sebuah badan NGO bagi penghuni dan residen Kompleks Rumah Kebajikan.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh wakil kumpulan, Datin Hajah Razina binti Haji Kassim, isteri Yang Berhormat Menteri Pendidikan kepada wakil Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah. Majlis tersebut diadakan di Crust and Crumb, Jalan Utama Berakas.
Turut hadir ialah Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, isteri Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi.





























