Kebajikan anak-anak yatim terus diberi perhatian

Oleh Syahmi Hassan, Yusrin Junaidi, Daniel Lim & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Sempena bulan Ramadan ini, anak-anak yatim terus mendapat perhatian dan pemedulian daripada pelbagai pihak yang tidak putus-putus menghulurkan sumbangan wang tunai dan keperluan Hari Raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Hari ini, seramai 200 orang anak yatim dari Mukim Gadong B dan Mukim Berakas A telah menerima derma pada majlis penyampaian derma dan berbuka puasa yang diadakan di Dewan Muhibah Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan derma pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut selaku wakil peribadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Acara berkenaan diungkayahkan oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama para penderma terdiri daripada syarikat-syarikat swasta dan orang persendirian termasuk Chong Ain Hong, William Ngui @ Ngui Poh, Firoz Khan Namroz Khan, Lim HG Stanley, Thomas Koh dan Hung Ah Hing.

Manakala itu, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tanjung Bunut dengan kerjasama Takmir Masjid Ar-Rahman pula telah menganjurkan majlis penyerahan derma kepada sembilan orang anak yatim dari Kampung Tanjung Bunut, hari ini.

Awang Salminan menyampaikan derma kepada penerima semasa majlis yang diadakan di Dewan Muhibah Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Salah seorang anak yatim menerima derma daripada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Abdul Rahman pada majlis yang berlangsung kelmarin.
Pengiran Muhammad Ameer Mubarak menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyaratan Pekan Bangar.
Awang Ramlee menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.
Antara anak-anak yatim yang hadir pada majlis yang diadakan di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyaratan Pekan Banga04

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan derma berkenaan ialah Penasihat MPK Tanjung Bunut, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Kani.

Majlis yang berlangsung di rumah kediaman Pemangku Ketua Kampung Tanjung Bunut, Haji Abdul Rahman bin Haji Jumat, di Jalan Tanjung Bunut Kanan, Kampung Tanjung Bunut itu merupakan kegiatan tahunan MPK dan Jawatankuasa Takmir Masjid Ar Rahman bagi sama-sama memeduli anak-anak yatim dan menggalakkan serta memberikan peluang kepada penduduk kampung bagi sama-sama membantu meringankan bebanan anak-anak yatim serta memperbanyakkan amalan pada bulan Ramadan.

Di Daerah Belait pula, seramai 345 orang anak yatim telah menerima derma pada majlis yang diadakan oleh Tabung Anak-anak Yatim Daerah Belait di Dewan Persidangan Belait, hari ini.

Penyampaian derma telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Agnete Johnsgaard-Lewis dan Timbalan Pengarah Urusan dan Pengarah Teknikal BSP, Yap Kong Fah yang turut sama-sama menyampaikan derma pada majlis tersebut.

Hadir sama ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Pemangku Penghulu Mukim Labi, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput.

Derma yang disampaikan adalah daripada Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan dan Tabung Anak-anak Yatim Daerah Belait serta Bank Islam Brunei Darussalam.

Selaras dengan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, majlis penyampaian derma pada tahun ini telah dibahagikan kepada dua sesi dengan sesi seterusnya dijadualkan diadakan esok di Pusat Insani, Seria.

Majlis serupa juga telah diadakan di Daerah Temburong yang berlangsung di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyaratan Pekan Bangar di mana seramai 193 orang anak yatim menerima sumbangan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak selaku penasihat Tabung Derma Anak-anak Yatim Daerah Temburong.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu; Pemangku Penolong Pegawai Daerah, Haji Mohamad Azmi bin Haji Suhaili selaku pengerusi Tabung Derma Anak-anak Yatim Daerah Temburong dan pengerusi majlis, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ketua-ketua cawangan, ahli-ahli Jawatankuasa Tabung Derma Anak-anak Yatim Daerah Temburong, peniaga-peniaga dan para dermawan.

Derma berkenaan adalah daripada Tabung Anak-anak Yatim Daerah Temburong, Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan, orang persendirian dan syarikat-syarikat swasta.