Kebajikan anak yatim diberi keutamaan

Oleh Yusrin Junaidi, Ak Zaki Kasharan, Daniel Lim & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Sejumlah $486,320 mula diagih-agihkan kepada seramai 4,436 orang anak yatim menerusi kaedah pandu lalu yang dilaksanakan di keempat-empat daerah hari ini.

Dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama jabatan-jabatan daerah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), penyerahan sumbangan derma secara pandu lalu itu diadakan dua hari hingga esok.

Di Daerah Brunei dan Muara, pusat pandu lalu adalah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas di mana turut hadir menyampaikan derma anak yatim ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah selaku wakil dari BIBD dan Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Pengiran Siti Rahmah binti Pengiran Haji Salleh serta ketua-ketua jabatan di KKBS.

Di Daerah Tutong, turut hadir menyaksikan penyerahan derma di Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong ialah Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin.

Di Daerah Belait pula, penyerahan derma yang diadakan di Dewan Persidangan Kuala Belait turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyampaikan sumbangan secara pandu lalu kepada salah seorang penerima. – Gambar oleh Muiz Matdani
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika menunggu pemandu menghampirinya untuk menyampaikan derma.
Pegawai Daerah Brunei dan Muara turut menyampaikan sumbangan derma tersebut.
Penyerahan derma yang berlangsung di Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong di mana penyampaian derma dibuat secara pandu lalu.
Penyerahan derma yang diadakan di Dewan Persidangan Kuala Belait turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS.
Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS ketika menyampaikan sumbangan derma Tabung Anak Yatim di bawah kendalian JAPEM, di Daerah Brunei dan Muara.
Penyampaian derma secara pandu lalu yang berlangsung di PKBN, Batu Apoi, Temburong.

Suasana ketika majlis penyerahan derma anak-anak yatim yang berlangsung di ICC, Berakas diadakan secara pandu lalu.
Antara penyerahan derma yang disampaikan kepada penerima di Daerah Belait.

Antara salah seorang penerima sumbangan derma melalui pandu lalu di Daerah Belait.

Sementara itu, di Daerah Temburong, hadir menyampaikan derma di Bangunan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Batu Apoi ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said dan Penolong Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.

Sumbangan yang diagihkan berkenaan adalah daripada Tabung Anak Yatim di bawah Kendalian JAPEM berjumlah $221,800, Tabung Dana Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara berjumlah $42,720 dan BIBD berjumlah $221,800.

Para penerima terdiri daripada anak-anak yatim yang berdaftar di bawah JAPEM iaitu seramai 2,848 dari Daerah Brunei dan Muara, 705 dari Daerah Tutong, 681 dari Daerah Belait dan 202 dari Daerah Temburong.

Salah seorang wakil dan penerima yang sempat ditemu bual semasa penyerahan di Daerah Brunei dan Muara, menyembahkan junjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui pihak-pihak yang terlibat atas sumbangan yang diberikan untuk anak-anak yatim.

Beliau berkata, dengan adanya sumbangan berkenaan akan dapat meringankan lagi bebanan mereka dalam bulan Ramadan dan persiapan menjelang Sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Walaupun majlis pengagihan pada tahun ini agak berbeza seperti tahun-tahun lalu akan tetapi majlis berkenaan lebih mudah, selamat dan selesa di mana kami hanya menunggu di dalam kereta mengikut sistem pandu lalu sahaja,” ujar Dayang Erna Marlina binti Asmei selaku penerima dan Hajah fatimah binti Haji Mohd Daud selaku wakil dan ibu kepada penerima.

Bagi penjaga yang tidak berkesempatan untuk mengambil derma pada hari ini dan esok, penyerahan derma akan diteruskan pada 6 hingga 8 Mei di semua cawangan JAPEM di seluruh negara.

Sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk keselamatan bersama semasa proses penyampaian derma berkenaan, beberapa peraturan dan arahan telah dipraktikkan dan diamalkan di tempat-tempat penyerahan derma berlangsung seperti pengamalan penjarakan sosial dan lainnya.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan seperti digalakkan seorang wakil sahaja bagi setiap keluarga untuk mengambil sumbangan di tempat-tempat yang dinyatakan di daerah masing-masing, tidak dibenarkan sesiapa yang dalam keadaan berikut untuk hadir ke tempat penyerahan derma iaitu mereka yang kurang sihat terutamanya yang mempunyai masalah pernafasan, demam panas, selesema dan batuk; warga emas mempunyai penyakit kronik; mempunyai terimunokompromi seperti penyakit-penyakit buah pinggang, paru-paru, kanser dan sebagainya; wanita yang mengandung; kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Mereka juga disarankan untuk hadir secara berperingkat serta tidak hadir terlalu awal.
Anak yatim atau wakil adalah dikehendaki untuk membawa dokumen-dokumen asal seperti kad anak yatim (yang dikeluarkan oleh JAPEM); kad pengenalan asal/ surat beranak anak-anak yatim asal; kad pengenalan asal wakil.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut orang ramai bolehlah menghubungi Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, JAPEM di talian 2380704 semasa waktu pejabat atau menghubungi hotline JAPEM iaitu Talian Kebajikan 141 serta Talian ANAK 121.