Kebajikan anak yatim terus dipeduli

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di bawahnya terus mengambil berat tentang kebajikan anak-anak yatim dengan mengadakan Majlis Penyampaian Derma Anak-anak Yatim yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan, hari ini.

Hadir menyampaikan sumbangan derma itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Prestasi dan Korporat), Dayang Suraya binti Haji Jaidin dan Pemangku Pengarah Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat, Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan penyampaian sumbangan derma oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew kepada anak-anak yatim yang diwakili oleh ibu-ibu mereka yang berkhidmat di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Penyampaian derma kepada anak-anak yatim Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada tahun ini diselenggarakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang diwakili oleh ibu-ibu mereka yang berkhidmat di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.