Thursday, October 10, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebajikan guru terus ditanai

    Oleh Sim Y. H. & Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memantapkan lagi kecemerlangan dan kebajikan guru di negara ini termasuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran mereka.

    Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Bimbingan Literasi dan Numerasi (LNCP) di mana seramai 140 orang guru tempatan Bahasa Inggeris dan Matematik telah menerima pengiktirafan sebagai Jurulatih Tempatan Terakreditasi dan pada masa ini, sedang menyertai Latihan Model Tunjuk Ajar bagi mencapai peringkat pakar.

    Di samping itu, melalui Program Pengambilan Guru Tempatan Berkontrak (LCT), seramai 101 orang graduan tempatan yang berkelayakan telah diambil untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik di beberapa buah sekolah rendah dan menengah kerajaan awal tahun ini, menurut Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Sulaiman dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-28 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    “Ini merupakan rancangan jangka panjang kementerian untuk mengambil lebih ramai lagi guru-guru tempatan berkualiti dengan menyediakan sokongan dan bantuan secara berterusan melalui pelbagai program perkembangan profesional yang dikendalikan oleh pihak Program Bimbingan Literasi Dan Numerasi (LNCP), Akademi Guru Brunei Darussalam (BDTA) dan jabatan-jabatan yang berkenaan di Kementerian Pendidikan.”

    Menurut Yang Berhormat Dato, Kementerian Pendidikan terus berusaha meningkatkan numerasi dan literasi para pelajar supaya mereka setanding dengan tahap yang ada di peringkat antarabangsa.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa menyampaikan sembah alu-aluan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Berdasarkan Piawaian Literasi dan Numerasi Kebangsaan (BDLNNS), guru-guru kini boleh mengukur tahap pencapaian setiap pelajar dari segi kebolehan membaca, menulis, mendengar, bertutur dan numerasi melalui instrumen Pengesan Penilaian Pelajar (SAT).

    “Keputusan SAT ini berguna bagi guru-guru untuk tujuan intervensi dalam membimbing setiap pelajar untuk mencapai tahap yang disasarkan,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Yang Berhormat Dato menyembahkan bahawa dalam memastikan pembangunan pendidikan para pelajar adalah holistik dan seimbang baik daripada aspek akademik mahupun sahsiah, aspek kemahiran, nilai dan kemaslahatan mereka turut dititikberatkan oleh setiap guru.

    Dalam hubungan itu, hasil keprihatinan dan maklum balas guru-guru dan atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, jelas beliau, Kementerian Pendidikan telah mula melaksanakan Program Harapan.

    “Program ini bertujuan untuk membantu para pelajar di sekolah-sekolah tertentu untuk meningkatkan potensi mereka dengan memfokuskan kepada kesediaan sekolah dan pelajar.”

    Untuk itu, Program Pemakanan telah dimulakan pada pertengahan 2018 yang berbentuk penyediaan sarapan pagi untuk semua pelajar dan makan tengah hari untuk mereka yang mempunyai kelas tambahan pada waktu petang.

    “Program ini dihasratkan untuk membantu para pelajar agar lebih bersedia bagi pembelajaran yang berkesan dan merangsang peningkatan kehadiran dan pencapaian pendidikan.”

    Beliau menyatakan program itu akan dilanjutkan kepada beberapa buah sekolah menengah lain di samping sekolah-sekolah rendah tadahan masing-masing.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah juga menyembahkan bahawa kementerian pada masa ini sedang dalam perancangan untuk memperkembangkan Program Harapan dengan projek akademik melalui penyediaan latihan teknikal dan vokasional.

    “Ini adalah bertujuan bagi mengupayakan dan mempersiapkan para pelajar dengan kemahiran yang dapat membantu mereka di alam pekerjaan pada masa akan datang.”

    Sekolah-sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam (PTE) kerajaan, ulasnya lagi, telah melaksanakan Projek Membudayakan Pembacaan Al-Quran.

    Pada masa yang sama, kementerian juga sedang melaksanakan fasa awal Projek Sembahyang Fardu Zohor dan Asar Berjemaah secara rintis di enam buah PTE dan lima buah sekolah menengah.

    Yang Berhormat Dato menyembahkan lagi bahawa KHEU dan Kementerian Pendidikan telah menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk menyelaraskan pendidikan Sejarah Islam di sekolah-sekolah dan institusi pengajian di bawah kedua-dua kementerian.

    Beliau berharap melalui pelaksanaan inisiatif berkenaan, para pelajar akan memupuk kecintaan mereka terhadap agama seperti yang dihasratkan oleh Baginda Sultan.

    “Guru-guru juga berperanan penting dalam meningkatkan penglibatan ibu-bapa dalam pembelajaran anak-anak mereka.

    “Dalam hubungan ini, pemimpin sekolah dan guru-guru telah melaksanakan Program Jaringan Sekolah dan Rumah di antara ibu bapa dan sekolah-sekolah bagi membantu pihak sekolah memantau perkembangan pembelajaran pelajar.”

    Dalam sembah alu-aluannya lagi, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa salah satu ciri pendidikan cemerlang ialah penerapan pengetahuan yang terkini dan kemahiran abad ke-21 dalam pembelajaran pelajar.

    “Aspek ini amat penting untuk diterapkan kepada para pelajar bermula bukan sahaja dari peringkat rendah hingga ke pengajian tinggi bahkan diteruskan lagi melalui pembelajaran sepanjang hayat,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Oleh itu, usaha meningkatkan peluang pembelajaran sepanjang hayat sekarang merupakan salah satu inisiatif utama di institusi pengajian tinggi dan telah mula menunjukkan perkembangan positif dengan penambahan program yang ditawarkan separuh masa mengikut keperluan dan kesesuaian masa para pelajar.

    “Dalam erti kata lain, proses pembelajaran tidak akan terhenti selepas tamat alam persekolahan bahkan boleh diteruskan melalui kepelbagaian akses dan pilihan yang kini semakin bertambah salam sama-sama mendukung pembangunan sumber tenaga manusia yang sentiasa produktif, relevan, berpengetahuan dan berkemahiran.”

    Pada masa yang sama, jelas Yang Berhormat Dato, peluang pembelajaran juga telah diluaskan lagi ke institusi pengajian tinggi swasta dengan penganugerahan Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional (BPTV) di bawah kendalian Kementerian Pendidikan.

    Beliau menyatakan bahawa sambutan orang ramai terhadap biasiswa berkenaan amat menggalakkan.

    Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan dan KHEU terus berusaha meningkatkan kemampuan profesional guru secara berterusan melalui latihan dan kursus pembangunan kapasiti serta perkongsian aktif amalan terbaik melalui seminar dan persidangan seperti Persidangan Hari Guru yang diadakan setiap tahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda