Kebajikan mangsa kebakaran diberi perhatian

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Mangsa kebakaran rumah yang berlaku di Kampung Lumapas, Daerah Brunei dan Muara pada 6 Julai lalu telah mendapat perhatian apabila Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menyampaikan bantuan, hari ini.

Hadir bagi menyampaikan bantuan pada majlis yang berlangsung di KKBS ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis menyaksikan sejumlah $1,000 telah disumbangkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan JAPEM kepada ketua keluarga mangsa kebakaran, Dayang Hining binti Mahali.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan di KKBS dan JAPEM.

Pemberian bantuan kewangan berkenaan diharap sedikit sebanyak membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa bagi meneruskan kehidupan seharian. Usaha berkenaan juga menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan sumbangan kepada ketua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Lumapas, kelmarin.