Oleh Ak Zaki Kasharan
TUTONG, 3 FEB – Dalam usaha memastikan kesejahteraan para mualaf terus terjamin, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah Tutong telah menyerahkan bantuan enjin penjana elektrik kepada seorang mualaf di Daerah Tutong, hari ini.
Bantuan yang diberikan kepada Awang Muhammad Omar bin Abdul Rahman @ Sumping Anak Angut itu bertujuan untuk membantu para mualaf dalam menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa.
Penyerahan bantuan telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah sebelum majlis diteruskan dengan demonstrasi praktikal menghidupkan enjin penjana elektrik oleh penerima dan bacaan Doa Selamat bagi mengakhiri majlis.
Bantuan seumpamanya juga merupakan salah satu kaedah dalam menyampaikan dakwah dengan memperlihatkan rasa tanggungjawab dan pemedulian kepada mereka yang memerlukan.
Antara bantuan lain yang diberikan kepada mualaf yang memerlukan ialah membina dan membaik pulih rumah, bantuan peralatan persekolahan, tangki dan pam air, dan juga keperluan harian berupa makanan asasi.