Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Penyerahan generator kepada Dayang Nur Amirah Batrisyah binti Abdullah Sembilan di kediamannya di Kampung Paya Rita, Merimbun pagi tadi, merupakan salah satu usaha Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dalam menjamin kesejahteraan hidup para mualaf di negara ini.
Selain memastikan golongan ini menjalani kehidupan yang lebih baik, bantuan yang diberikan juga bertujuan agar mereka dapat melaksanakan ibadah dengan selesa di samping menjalani kehidupan seharian.
Antara bantuan lain yang diberikan kepada para mualaf ialah seperti bantuan membina dan membaik pulih rumah, peralatan persekolahan, mesin rumput, tangki, pam air dan keperluan asas harian berupa makanan asasi.
Selain menyerahkan bantuan, rombongan PDI juga mengadakan lawatan kebajikan kepada para mualaf yang tinggal di kawasan pedalaman Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan juga mengetuai rombongan lawatan ialah Pemangku Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar.

Selain bantuan barangan keperluan, PDI juga memberikan bantuan untuk projek sara diri seperti mesin jahit, mesin mengetam padi dan juga bahan-bahan untuk membuat kuih.
Bantuan seumpama ini merupakan salah satu syiar dakwah kepada mualaf di negara ini di samping mengeratkan dan mengukuhkan lagi ikatan silaturahim selain menwujudkan amalan saling menghormati antara satu dengan yang lain.
Di samping itu, ia juga merupakan usaha dan rasa pemedulian PDI kepada mualaf yang memerlukan bantuan dan salah satu cara berdakwah kepada mereka yang bukan beragama Islam.