Kebajikan OKU sentiasa dipeduli

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – Orang-orang kelainan upaya (OKU) di negara ini terus diberikan perhatian serta tidak diabaikan di mana mereka juga diberikan peluang untuk sama-sama menikmati suasana berbuka puasa beramai-ramai dengan pelbagai hidangan juadah yang lazat.

Di atas dasar pemedulian itu, Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan kerjasama dua buah syarikat swasta iaitu Borneo United Enterprise Sdn Bhd dan Dee Jay Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Bersungkai Bersama Murid dan Pelatih Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara di Pusat Bahagia, Kampung Pulaie, hari ini.

Hadir dan turut sama-sama menyertai majlis bersungkai bersama murid dan pelatih pusat berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri, Datin Hajah Norhayana Janis binti Abdullah Lim.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Saidah binti Wahid; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir; Pengerusi Syarikat Borneo United Enterprise Sdn Bhd, Stanley Lim Hock Ghim; wakil peribadi Pengerusi Syarikat Dee Jay Sdn Bhd, pegawai-pegawai kanan dan tenaga kerja dari KKBS, Jabatan Pembangunan Masyarakat serta Pusat Bahagia Brunei Muara.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil beramai-ramai yang diketuai oleh murid OKU intelek dari Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara, Awangku Ali Safwan bin Pengiran Ali Shafie dan Doa Tahlil yang dibacakan oleh Guru Agama Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara, Haji Nuurmatin bin Haji Abu Bakar serta diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Di majlis berkenaan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyampaikan sampul Hari Raya Aidilfitri kepada pelajar lelaki manakala Datin Hajah Norhayana Janis menyampaikan sampul Hari Raya Aidilfitri kepada pelajar perempuan sumbangan daripada Tabung Orang-orang Cacat (TOOC).

Di samping itu sumbangan sampul Hari Raya Aidilfitri juga dihulurkan oleh syarikat-syarikat swasta yang disampaikan oleh Stanley Lim Hock Ghim dan wakil dari Dee Jay Sdn Bhd.

Selain menyampaikan sumbangan, syarikat-syarikat swasta berkenaan turut membiayai majlis bersungkai bagi kira-kira 120 orang pelatih dan murid-murid Pusat Bahagia. Majlis itu menampakkan sokongan padu dan pemedulian dari firma-firma swasta akan kebajikan golongan OKU ke arah pendekatan whole of nation.

Majlis itu dihasratkan dapat diteruskan pada masa akan datang melihat kepada keceriaan dan kegembiraan yang jelas digambarkan oleh setiap murid dan pelatih yang hadir. Majlis itu juga merupakan peluang bagi para tetamu untuk sama-sama menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan bersama murid-murid dan pelatih Pusat Bahagia.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta wakil syarikat-syarikat swasta menyampaikan sampul Hari Raya Aidilfitri kepada para pelajar Pusat Bahagia.
Datin Hajah Norhayana Janis menyampaikan sampul Hari Raya Aidilfitri kepada para pelajar Pusat Bahagia.