Kebakaran baharu meletus di Beirut

BEIRUT, 15 SEPT – Anggota bomba di ibu negara Lubnan hari ini berkata mereka berjaya memadamkan kebakaran di sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan, dalam kejadian kebakaran ketiga yang terjadi di bandar tersebut sejak letupan besar di pelabuhan.

Bangunan itu terletak kira-kira 1.5 kilometer dari pusat pelabuhan Beirut, yang direka oleh arkitek terkenal kelahiran Britian-Iraq, Zaha Hadid.

Rakaman video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan asap hitam berkepul-kepul menjulang dengan api merah yang marak kelihatan membakar bahagian sisi bangunan.

Wartawan AFP yang berada di tempat kejadian berkata anggota bomba menggunakan kren untuk menyasarkan hos air ke arah bangunan yang terbakar.

“Apa yang terbakar adalah penebat yang memisahkan bahagian luar dari dalam bangunan itu, kata seorang pegawai pertahanan awam kepada AFP.

Anggota bomba cuba mengawal kebakaran yang berlaku di Beirut. Lubnan mencatat kejadian kebakaran ketiga yang terjadi di bandar tersebut sejak letupan besar di pelabuhan dan mencetuskan kemarahan orang awam terhadap ahli politik yang dituduh tidak cekap. – AP

“Kami berjaya mengawal kebakaran dengan secepat mungkin,” katanya.

Punca kebakaran masih belum diketahui.

Pada 4 Ogos lalu, letupan berlaku di pelabuhan, salah satu letupan terbesar bukan nuklear pernah berlaku, membunuh 190 orang, mencederakan ribuan dan memusnahkan tingkap dan pintu bangunan di sebahagian besar bandar.

Ia diikuti dengan kebakaran kecil pada Selasa minggu lalu di pelabuhan dan satu lagi kebakaran besar pada Khamis di gudang pelabuhan di mana bantuan makanan disimpan.

Kejadian kebakaran yang berlaku telah mencetuskan kemarahan awam terhadap ahli politik yang dituduh tidak cekap, mengamalkan rasuah dan tidak mampu menjaga keselamatan awam.

Hasil siasatan awal oleh kerajaan berkata bahawa percikan api dari tenaga elektrik mungkin menyebabkan kebakaran pada Khamis, teori yang sama dalam letupan pada 4 Ogos lalu.

Hari ini, pengguna media sosial membuat ramalan bahawa punca kebakaran baharu mungkin juga berpunca dari percikan api. – AFP