Kebakaran bangunan ragut 46 jiwa

TAIPEI, 14 OKT – Kebakaran sebuah bangunan di bandar Kaohsiung, selatan Taiwan hari ini telah mengorbankan kira-kira 46 orang manakala mencederakan puluhan yang lain dalam kebakaran paling teruk di pulau itu dalam masa beberapa dekad.

Kebakaran meletus di bangunan 13 tingkat pada pagi ini, menurut para pegawai, membakar keseluruhan tingkat sebelum anggota bomba berjaya mengawal api.

Gambar-gambar yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat rasmi Taiwan menunjukkan asap berkepul-kepul keluar dari tingkap bangunan itu ketika anggota bomba cuba untuk memadamkan kebakaran menggunakan hos yang boleh dipanjangkan.

Jabatan bomba Kaohsiung berkata ia menghantar lebih 70 trak untuk menangani kebakaran itu yang mengambil masa empat jam untuk dipadamkan.

Ketika hari mulai siang, skala kebakaran kelihatan lebih jelas, dengan setiap lantai bangunan rentung dan hampir semua tingkapnya pecah.

Gambar bertarikh 14 Oktober menunjukkan operasi menyelamat selepas kebakaran semalaman meranapkan sebuah bangunan di bandar Kaohsiung. – AFP

Jabatan bomba berkata kebakaran itu ‘mengakibatkan 41 cedera manakala 46 kematian’, kata pegawai menambah kebanyakan korban berlaku di tingkat tujuh hingga 11, yang menempatkan apartmen kediaman.

Lima tingkat pertama digunakan untuk komersial namun tidak dihuni.

Penduduk melaporkan terdengar beberapa bunyi kuat kemudian api meletus di tingkat bawah.

“Saya dengar banyak dentuman – bang, bang, bang’ – di tingkat bawah dan mula turun untuk menyiasat,” kata seorang lelaki yang tidak dikenali yang tinggal dalam bangunan itu memberitahu Formosa TV.

“Kemudian saya menyedari adanya api dan menghubungi polis,” tambahnya.

Seorang wanita yang terselamat, menggambarkan kejadian di tingkatnya, berkata: “Apabila saya membuka pintu untuk keluar, laluan jalan dipenuhi asap hitam.”

Konstabel di jabatan polis Kaohsiung memberitahu AFP yang bangunan itu sudah berusia 40 tahun dan kebanyakannya dihuni oleh penduduk berpendapatan rendah.

Mangsa-mangsa menganggarkan sekitar 100 orang tinggal dalam blok apartmen itu, tambah konstabel, hanya memberi namanya Liu.

Pasukan forensik berada di tapak kejadian dan masih menyiasat punca kejadian. – AFP