Kebakaran belukar Australia semakin buruk

SYDNEY, 12 NOV – Kebakaran belukar yang berlaku di beberapa negeri di New South Wales (NSW) Australia  masih pada tahap berbahaya dengan ratusan sekolah ditutup dan penduduk diminta bersiap sedia berdepan keadaan lebih buruk, lapor agensi berita Xinhua.

Suhu diramalkan mencecah 35 darjah disusuli angin kencang dan kering, boleh mencetuskan ‘malapetaka’ di Sydney dan kawasan sekitarnya.

“Hari ini akan menjadi hari sangat panjang dan berbahaya,” kata Perkhidmatan Bomba NSW menerusi media sosial pada hari ini.

Pada jam 6 pagi waktu tempatan terdapat 54 kebakaran di seluruh NSW, kebanyakannya di pantai utara – 25 daripada kawasan yang terbakar gagal dikawal.

Tahap bahaya bencana kebakaran bermaksud kawasan kebakaran merebak dengan cepat dan sukar dikawal.

“Bahaya kebakaran dinilai pada kesukaran mengawal kebakaran,” kata seorang pegawai kanan Biro Meteorologi Australia Clinton Yeo.

Beliau berkata penilaian bahaya kebakaran ini berdasarkan pada ramalan suhu, kelajuan angin dan juga jenis hutan atau kawasan padang rumput. – Bernama