SANTIAGO, 13 Mac – Pihak berkuasa Chile, kelmarin, mengeluarkan amaran tahap merah di bandar Viña del Mar dan Valparaiso ekoran kebakaran hutan besar yang memusnahkan 250 hektar tanah dan menyebabkan 284,000 penduduk di lapan perbandaran terputus bekalan elektrik.
Datuk Bandar Valparaiso, Gabriel Aldoney berkata, sekolah di Vina del Mar juga ditutup sementara pada hari ini. Kebakaran bermula di Valparaiso sebelum merebak ke Viña del Mar sehingga menghampiri bandar di pinggir pantai Algarrobo dan El Quisco.
“Keseluruhan anggota Jabatan Bomba Viña del Mar bekerjasama dengan pasukan perhutanan. Tujuh unit Perbadanan Perhutanan Negara (CONAF), empat kapal terbang dan helikopter digunakan dalam operasi memadam kebakaran,” kata pengarah wilayah pejabat kecemasan negara Guillermo de la Maza.
Pihak berkuasa juga sedang meneliti kemungkinan untuk memindahkan sebahagian penduduk di kawasan terjejas.
Kawasan yang terputus bekalan elektrik ialah Valparaiso, Cartagena, Viña del Mar, Quilpue, Algarrobo, El Quisco, El Tabo dan Casablanca. – Bernama/NNN