MARGARET RIVER, 10 DIS – Australia hari ini bergelut menangani dua bencana alam serentak, dengan kebakaran di pantai barat dan banjir serius serta hujan lebat di bahagian timur negara itu.
Kebakaran di barat yang merupakan destinasi tumpuan pelancongan Margaret River, melanda selepas berminggu-minggu kawasan terkenal dengan wain dan aktiviti meluncur ombak itu dicengkam suhu tinggi.
Walau bagaimanapun, tiada kerosakan rumah atau kecederaan dilaporkan setakat ini, namun kebakaran mula dilihat di kawasan yang luas dengan asap tebal berkepul di udara.
Pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran kecemasan, dengan sejumlah penduduk diarahkan berpindah ke tempat selamat atau berlindung di pusat pemindahan.
“Bertindak segera untuk mengelakkan keadaan bertambah buruk,” kata Jabatan Perkhidmatan Kecemasan dan Bomba negeri. Walaupun pesisir pantai Lautan Hindi Australia berada di bawah suhu 40 darjah Celsius, Pantai Pasifik di seberang benua itu pula dilanda hujan selama berbulan-bulan.
“Satu kawasan pusat tekanan rendah sudah terbentuk di luar pantai selatan New South Wales, yang mengakibatkan hujan lebat dan banjir besar,” kata Biro Meteorologi.
Beberapa kawasan luar bandar di selatan Sydney kini dilanda kebakaran hutan paling teruk di negara itu, di mana genap dua tahun lalu, kawasan sama merekodkan hujan sebanyak 21 sentimeter dalam tempoh hanya 24 jam.
November lalu dilaporkan bulan paling lembap dalam rekod 122 tahun dan antara cuaca paling sejuk susulan ketibaan fenomena cuaca La Nina. – AFP